8 Januari 2024, 17:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Linggi – Dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan dari China menerusi pelbagai sektor di Melaka, Kerajaan Negeri Melaka menawarkan pelbagai insentif istimewa kepada pelabur terbabit termasuk dalam sektor pelancongan.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, insentif itu juga bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dengan China sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika menyampaikan sumbangan kepada pelajar dalam program Sokongan Didikan dan Pelancaran Kempen Sumbangan Buku EDRA.

Menurut Ab Rauf, insentif yang ditawarkan itu menjadi tarikan kepada beberapa syarikat pelaburan dari China untuk melabur di Melaka dan mengembangkan lagi perniagaan mereka termasuk EDRA Power Hodings Sdn. Bhd.

“Kerajaan negeri akan memperkasakan dan memberi fokus untuk menarik pelabur dari China dari pelbagai sektor termasuk sektor pelancongan kerana Melaka mempunyai sejarah dan hubungan rapat sejak 600 tahun ketika zaman kegemilangan Laksamana Cheng Ho.

“Oleh itu sempena ulang tahun antara Malaysia dengan China ini, kerajaan negeri mengalu-alukan kedatangan lebih banyak pelabur dari China untuk melabur di Melaka dan kita akan pastikan mereka mendapat insentif istimewa yang hanya ditawarkan oleh kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Sokongan Didikan dan Pelancaran Kempen Sumbangan Buku EDRA di Stesen Loji Janakuasa EDRA.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Rosli Abdullah; Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta Pengerusi Edra, Dai Honggang.

Pada program itu, sebanyak 10 sekolah dalam daerah Alor Gajah terpilih menerima bantuan daripada EDRA Power Hodings Sdn. Bhd. membabitkan bantuan baucar kasut dan beg sekolah bernilai RM120 serta bantuan kewangan kepada sekolah terbabit melibatkan peruntukan sebanyak RM4000 hingga RM6000 untuk setiap sekolah.

Ab Rauf menjelaskan, penerimaan pelabur China terhadap Melaka amat positif dan dibuktikan menerusi beberapa pelaburan besar yang strategik diterima negeri ini seperti loji janakuasa EDRA dimiliki Edra Power Holdings Sdn. Bhd. di Kuala Sungai Baru.

“Sebagai negeri mesra pelabur, kita sentiasa menawarkan insentif menarik yang berbeza dengan tempat lain. Semua ini akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur untuk terus bertapak di Melaka. Hanya Melaka yang akan menawarkan banyak insentif kepada mereka dan mengambil contoh daripada limpahan insentif itu membuktikan hingga hari ini keyakinan pelaburan yang diberikan EDRA membolehkan syarikat tersebut beroperasi di Masjid Tanah”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.