9 Januari 2024, 09:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banda Hilir – Pembukaan secara rasmi Muzium Wangkang Melaka, di Jalan Parameswara di sini, hari ini menyediakan satu lagi produk pelancongan baharu di Negeri Melaka.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyatakan bahawa pembukaan muzium itu bakal menjadi pusat rujukan awam khususnya kepada ahli akademik dan para pelancong yang mahu mengetahui lebih mendalam tentang upacara wangkang yang telah diiktiraf sebagai warisan tidak ketara kemanusiaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurutnya, pembukaan Muzium Wangkang yang pertama di Malaysia itu juga merupakan nilai tambah dalam memperkasakan hubungan antara Malaysia-China.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika hadir menyempurnakan perasmian pembukaan Muzium Wangkang di Jalan Parameswara.

“Perarakan Wangkang di Melaka pada 11 Januari ini yang menerima pengiktirafan bersama Wilayah Xiamen, China sebagai Warisan Tidak Ketara oleh UNESCO ialah satu pengiktirafan bermakna bagi negeri ini sekali gus mampu memperkasakan sektor pelancongan.

“Saya berharap agar muzium ini dapat mempamerkan pelbagai khazanah warisan sejarah dunia yang dikecapi oleh Negeri Melaka, sekali gus mengangkat martabat keunikan kepelbagaian warisan budaya di negeri ini yang menerima pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” katanya ketika merasmikan muzium itu.

Hadir sama pada perasmian itu ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Kerk Chee Yee; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin; dan Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Leng Chau Yen.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dr. Tan Awang Besar; Pengerusi Muzium Wangkang Melaka, Datuk Ronald Gan; Pengerusi Persatuan Penyelidikan Kebudayaan Xiamen Minnan, Ye Xi Zhi; Pengerusi Cheng Hong Teng Incorporation, Lee Eng Chow dan Pengerusi Jawatankuasa Yong Chuan Tian, Gan Suan Hong.

Muzium Wangkang yang dibuka pada setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu memaparkan gambar-gambar lama perarakan Wangkang serta pameran gambar pembuatan kapal Wangkang serta pameran beberapa artifak lain.

Dalam perkembangan lain, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata kerajaan negeri bercadang untuk menjadi tuan rumah dalam penganjuran ulang tahun Jubli Emas ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada 24 Oktober depan.

Menurutnya, surat permohonan telah dihantar kepada kerajaan pusat menerusi Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menyatakan hasrat tersebut agar dapat dilaksanakan di negeri ini.

YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meluangkan masa melawat pameran yang disediakan.

“Penganjuran sambutan itu di Melaka sejajar dalam mengembalikan kegemilangan hubungan Melaka dengan China yang terjalin sejak 600 tahun dahulu menerusi kerjasama diplomatik antara Laksamana Cheng Ho dengan Kesultanan Melayu Melaka.

“Kerajaan negeri mahu bersama-sama meraikan ulang tahun Jubli Emas ini memandangkan hubungan antara Malaysia dengan China ini telah terjalin sejak begitu lama. Laksamana Cheng Ho telah tujuh kali singgah di Melaka sebelum memulakan pelayarannya ke benua lain.

“Hubungan ini tercatat dalam sejarah dan hal tersebut dilanjutkan oleh Perdana Menteri, iaitu Tun Abdul Razak pada 1974 untuk meneruskan hubungan baharu Malaysia-China. Melaka mengharapkan agar peluang ini diberikan untuk kita menyorot kembali sejarah kegemilangan hubungan Melaka-China ini, kita harap usaha ini diperkenankan dan kerajaan negeri bersedia menjadi tuan rumah,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.