9 Januari 2024, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banda Hilir – Perarakan Wangkang yang bakal diadakan secara besar-besaran pada 11 Januari ini dijangka dimeriahkan dengan kehadiran lebih 3,000 orang peserta.

Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan berkata, upacara sebagai simbolik kepada elemen kebaikan dan perpaduan itu merupakan antara tradisi masyarakat Baba dan Nyonya yang berasal dari wilayah Fujian, China.

Menurut Ronald, perarakan tersebut disertai lebih daripada 43 kumpulan yang akan membawa sebuah kapal Wangkang, iaitu KR Kapal Raja Perpaduan Aman sepanjang 10 meter dengan diiringi dua replika kapal lain.

Katanya, perarakan sejauh kira-kira 9.5 kilometer itu bermula pada pukul 8.30 pagi dari Muzium Wangkang Melaka di Jalan Parameswara menuju ke Jalan Bukit Senjuang, Munshi Abdullah, Hang Tuah, Gajah Behrang, Om Kim Wee, Jonker sebelum kembali ke Muzium Wangkang.

Kapal Wangkang, iaitu KR Kapal Raja Perpaduan Aman sepanjang 10 meter bersiap sedia untuk perarakan pada 11 Januari .

“Perarakan besar-besaran ini akan membabitkan 22 perhentian sebagai simbolik menjemput roh-roh atau “hantu” yang tidak mempunyai rumah dan kelaparan untuk dibawa menaiki kapal Wangkang yang juga dinamakan sebagai kapal Hokkien sebelum dihantar ke alam lain. Pada sebelah malam, acara diteruskan dengan perarakan ke Pulau Melaka iaitu lokasi tapak Melaka Gateway bagi upacara utama iaitu membakar replika kapal sebagai simbolik penghantaran roh-roh ini,” katanya.

Ronald yang juga Pengerusi Muzium Wangkang Melaka berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Muzium Wangkang Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ujar Ronald, Perarakan Wangkang yang disenaraikan sebagai Warisan Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) perlu diperluaskan dan dipromosikan lagi bagi memastikan budaya tradisi Baba dan Nyonya itu didedahkan kepada rakyat negeri ini.

Berdasarkan rekod, upacara penuh simbolik itu hanya akan diadakan pada tarikh tertentu. Kali terakhir upacara tersebut diadakan adalah pada tahun 2020. Dijangkakan upacara itu bakal diadakan pula pada 2031 dengan sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Melaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.