11 Januari 2024, 22:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran Hanya Satu:’NIYAT’ yang menggabungkan elemen seni dan sukan di Balai Seni Negara kini berlangsung mulai 25 Disember 2023 hingga 14 April 2024.

Menurut Balai Seni Negara, pameran oleh pengkarya muda aktif dari kolektif seni tempatan KolmeGlu yang semakin mekar dalam industri seni negara, Dhan Illiani ini merupakan pameran yang keenam dalam pameran Hanya Satu atau Single.

Pameran Hanya Satu merupakan ruangan berkarya dan pelantar provokasi idea sekali gus turut memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada pelukis kontemporari muda.

Pameran Hanya Satu:’NIYAT’ berlangsung di Balai Seni Negara dari 25 Disember 2023 hingga 14 April 2024.

“‘NIYAT’ ialah frasa daripada ‘Niat’ dalam bahasa Melayu dan ‘Niyyah’ dalam bahasa Arab. Kedua-duanya mempunyai persamaan makna tersurat dan tersirat selain perkataan tersebut juga merupakan nama timangan pengkarya Dhan Illiani,” kata Balai Seni Negara dalam satu kenyataan.

Pengkarya turut menyelami respons masyarakat, memaparkan dilema dan etika yang membimbing ramai, mencipta naratif visual yang berlainan bagi setiap pengunjung.

“Pengkarya ini bukan hanya seorang pengkarya pelbagai disiplin, malah merupakan seorang pemain hoki ais kebangsaan yang sedang bersiap sedia untuk ke Sukan SEA pada tahun 2025”.

Menurut Balai Seni Negara juga, salah satu “NIYAT”nya melalui pameran ini adalah untuk mendorong pemahaman terhadap hoki ais dalam kalangan masyarakat serta menekankan kepentingan dan potensi sukan tersebut bagi meraih sokongan semua pihak.

Pameran ini juga akan menampilkan program sokongan yang menggabungkan seni dan sukan dalam sebuah persembahan seni bertajuk “Niyat Hoki” yang memperlihatkan rakan sepasukannya dalam hoki, menyorot disiplin dan proses bersama di antara kedua-dua bentuk ekspresi.

“Seni dan sukan memiliki hubungan yang nyata dan tidak nyata yang tidak pernah terlihat oleh masyarakat umum walaupun dilihat bertentangan dan inspirasi persembahan seni ini dipetik daripada pelbagai reaksi, tanggapan dan pandangan masyarakat mengenai sukan yang melibatkan wanita-wanita muda,” jelasnya.

Persembahan seni tersebut turut diadakan dengan “NIYAT” menambah satu lapisan kepada pengalaman pameran secara keseluruhan serta memberi perspektif dinamik mengenai maksud sebenar ‘NIYAT’.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.