12 Januari 2024, 22:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Taiping – Pelbagai aktiviti dirancang bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping yang akan dilancarkan pada 20 Januari 2024 yang melibatkan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) serta individu yang ingin berkongsi pengalaman.

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Pokok Assam dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak dan rakan sinergi Kembara Bacaton bakal menganjurkan Karnival Bacaton pada 26 April hingga 28 April 2024. Program tersebut dilaksanakan menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Pada 11 Januari 2024 telah diadakan program lawatan tapak dan perbincangan bersama Encik Abd Rashid Abdulah, Pengarah JKKN Perak dan wakil Pusat Ekonomi Digital (PEDi), Muzium Telegraf Taiping, Muzium Perak dan barisan kepimpinan serta ahli Persatuan Veteran ATM Cawangan Pokok Assam. Taklimat berkaitan segmen Kembara Bacaton telah disampaikan oleh pengurus acara, iaitu Sallehuddin Ibrahim.

Encik Sallehuddin Ibrahim (bertopi berbaju biru) ketika sesi perbincangan penganjuran Karnival Bacaton.

 

Tiga Segmen yang dicadangkan ialah Bengkel Komunikasi Digital, Lawatan ke Lokasi Pengkaryaan dan Persembahan Seni Budaya (Bacaton Karya) yang bertemakan Kelestarian Warisan Mendepani Urbanisasi dengan merujuk slogan dan pengisian program Sambutan Ulang Tahun 150 Tahun Bandar Taiping (1984-2024) serta kesinambungan program Uncang Ilmu Mudik ke Hulu yang telah bermula pada tahun 2021.

Menurut Abdul Rashid Abdullah, segelintir masyarakat masih tidak memahami makna sebenar “seni budaya” yang dianggap tidak menyumbang kepada sektor ekonomi dan terbatas dengan aktiviti hiburan dan tarian semata-mata. Beliau berharap dengan penerangan yang disampaikan dapat membantu penganjur mengatur aktiviti yang bermanfaat kepada komuniti.

Tambah Abdul Rashid, “Tarian tradisional bukan sekadar hiburan kosong atau melalaikan tetapi setiap gerak langkah penari ada tersirat falsafah dan terserlah kehalusan budi bahasa yang memerlukan pemahaman dan penghayatan penonton seperti tarian dabus yang telah diubah suai dengan budaya tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.