15 Januari 2024, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semeling – 33 orang siswazah daripada program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Teknologi Marin Lestari (AS256) dari Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perlis, Kampus Arau (UiTM Cawangan Perlis) telah mengunjungi Galeri Produk Jerai Geopark yang terletak di Mukim Semeling, Kuala Muda, Kedah Darul Aman.

Lawatan selama dua jam tersebut bertujuan untuk mengenali warisan alam di persekitaran Sungai Merbok dari sudut sejarah, geografi, kemasyarakatan, ekonomi dan kepelbagaian sumber asli yang bernilai tinggi.

Beberapa lokasi di Galeri Produk Jerai Geopark menjadi tumpuan para siswazah antaranya termasuklah Galeri Biodiversiti Merbok, Galeri Geopark Jerai dan Galeri Kedah Tua. Di Galeri Kedah Tua, siswazah mempelajari sejarah Pelabuhan Kedah Tua yang terkenal untuk kapal-kapal dagang antarabangsa berlabuh di Pelabuhan Lembah Bujang. Selain itu, keadaan geografinya yang strategik menjadikan Kedah Tua sebagai lokasi tumpuan untuk masyarakat bermastautin dengan penemuan hasil kraf tembikar dan manik. Kedah Tua juga telah menjadi hub perdagangan hasil bumi seperti gading, damar, rotan dan sebagainya.

Para siswazah mendapatkan maklumat tentang sejarah dan geografi Kedah Tua.

“Kawasan Sungai Merbok rupa-rupanya menjadi tumpuan kapal-kapal dagang besar untuk berlabuh di sini seperti Kerajaan Melayu Melaka,” kata Kamelia Karim, siswazah yang turut serta dalam lawatan tersebut.

Di Galeri Jerai, siswazah memperoleh pelbagai maklumat tentang sumbangan geologi kepada biologi, budaya dan sebagainya. Mereka dapat mengetahui akan kepentingan formasi batuan di Gunung Jerai dan ketamadunan Kedah Tua dari sudut geologi. Warisan biologi yang menarik juga menjadikan kawasan Gunung Jerai kaya dengan sumber asli yang unik dan bermanfaat dari sudut sosioekonomi.

Di Galeri Biodiversiti Merbok pula, siswazah berpeluang menyaksikan kepelbagaian spesies flora dan fauna yang menjadi habitat di persekitaran dan ekosistem Sungai Merbok. Antara paparan yang menarik ialah infografik tentang taburan, manfaat dan kepelbagaian jenis tumbuh-tumbuhan bakau, spesies udang, mamalia, burung, ikan dan sebagainya.

Di Galeri Produk Jerai Geopark, siswazah sempat bergambar di atas pelantar kayu dan dek. Di sini, mereka dapat melihat dengan lebih dekat struktur daun, batang dan warna pokok bakau; sedimen persisiran hutan bakau dan ikan-ikan yang bermain di gigi air. Pondok-pondok kecil juga menjadi lokasi mereka berkumpul dan mengambil gambar berlatarbelakangkan panorama memukau hutan paya bakau.

Sebelum mengakhiri lawatan, mereka sempat membeli cenderahati dan produk tempatan yang terdapat di kedai cenderahati. Bagi siswazah yang kali pertama berada di sini, peluang bergambar dan mempelajari perihal warisan alam Sungai Merbok dan Jerai Geopark diibaratkan sebagai belayar sambil memapan, merapat sambil belayar. Kenangan manis berada di sini disimpan sebagai memori terindah memandangkan siswazah tersebut berada pada tahun akhir pengajian.

Sebagai warganegara Malaysia yang prihatin, kita bertanggungjawab untuk melestarikan kepelbagaian sumber asli, mempelajari sumbangan sejarah, geografi dan arkeologi ketamadunan masa lampau serta menghargai warisan dan budaya agar tidak luput ditelan zaman untuk tatapan generasi seterusnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.