16 Januari 2024, 11:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Balai Seni Negara telah menganjurkan Malam Apresiasi Seni 65 Tahun Balai Seni Negara bersempena dengan ulang tahun ke-65 penubuhannya sebagai pusat seni yang berperanan untuk membangunkan dan memelihara seni visual.

Menurut Balai Seni Negara, majlis tersebut berlangsung meriah di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dengan dihadiri oleh penaung, pendukung serta penggiat seni dari seluruh negara yang sentiasa menyokong perkembangan ekosistem seni visual di Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman membacakan teks ucapan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing dalam majlis tersebut.

“Balai Seni Negara turut melancarkan buku Jejak Seni Malaysia dan program Jejak Seni Malaysia, iaitu usaha kolaboratif bersama penyelidik, seniman tempatan dan komuniti dalam memberikan tumpuan kepada pengenalpastian dan pemetaan lokasi seni di seluruh negara agar hasil karya seni awam sentiasa terjaga dalam majlis yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, program ini adalah untuk memelihara nilai hasil karya selain mengangkat lokasi seni berkenaan sebagai tarikan pelancongan.

Balai Seni Negara turut memaklumkan bahawa majlis pada malam tersebut turut dimeriahkan dengan penyampaian anugerah dan penghargaan kepada penyumbang besar terhadap ekosistem seni visual negara seperti anugerah Tribute Khas Kolektor Seni Visual Negara, Penghargaan Pendukung Ekosistem Seni Visual Negara, Penghargaan Pemangkin Industri Seni Visual Negara, Penghargaan Utama Seniman Seni Visual Negara dan Penghargaan Utama Penaung Seni Visual Negara.

“Balai Seni Negara sebagai peneraju utama arena seni visual tempatan amat menghargai sumbangan dan pelibatan semua pihak dalam mengangkat seni dan akan terus komited dalam merancakkan lagi aktiviti kesenian mengikut peredaran masa dengan pendekatan yang inklusif selari dengan konsep Malaysia Madani,” katanya.

Majlis yang berlangsung pada 10 Januari lalu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing. Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), YBrs. Encik Shaik Rizal Sulaiman dan Pengarah LPSVN, YBrs. Encik Amerrudin Ahmad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.