19 Januari 2024, 12:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh: Kejayaan penganjuran Pesta Gendang Nusantara (PGN) 2024 oleh Kerajaan Negeri Melaka bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) selama lima hari bermula 2 Januari hingga 6 Januari lalu mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Records (MBR).

Ketua Pegawai Operasi MBR, Christopher Woo menyampikan sijil MBOR kepada Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman sambil disaksikan Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Sebanyak dua pengikitrafan diterima oleh MBMB iaitu kategori First Gendang Nusantara Performance atas penganjuran paling lama sejak 1995 dan kategori Most Performers in a Gendang Nusantara Performance menerusi penyertaan acara penggendangan paling banyak.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata pengiktirafan berkenaan menjadikan Melaka negeri warisan dan budaya yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurut Shadan, PGN ialah usaha meraikan kepelbagaian budaya dan tradisi penggendangan di Malaysia dan Nusantara selain memartabatkan Melaka sebagai negeri yang kaya dengan budaya dan warisan.

Persembahan Dance of Zywiec Highlanders oleh peserta dari Poland.

“Biarpun penganjuran PGN terhenti sejak 2012 atas beberapa faktor termasuk penularan wabak COVID-19, hal tersebut tidak menghalang kerajaan negeri serta MBMB mengadakan acara yang menjadi pembuka tirai program bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan sekali gus menerima pengiktirafan MBR,”katanya.

Perasmian PGN 2024 disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam yang turut menyaksikan penyerahan sijil anugerah oleh Ketua Pegawai Operasi The Malaysia Book Of Records (MBR), Christopher Woo kepada Shadan sambil disaksikan Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Persembahan gendang oleh peserta dari Korea.

Penganjuran PGN 2024 itu disertai 32 kumpulan dari Malaysia serta Nusantara selain beberapa kumpulan dari luar negara dengan keseluruhan penyertaan sebanyak 550 orang.

Shadan menjelaskan, menerusi penyertaan memberangsangkan dengan jumlah kehadiran penonton melebihi 10,000 orang, beliau yakin PGN mampu diteruskan sebagai aktiviti tahunan selepas ini.

Daripada 31 kumpulan yang memeriahkan acara PGN 2024 itu, pasukan Malaysia membabitkan penyertaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Kumpulan Selendang Perak (SUK Perak), Jabatan kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Kumpulan Kesenian Pahang, Majlis Kebudayaan Negeri Pulau Pinang, Kumpulan Sewang Pos Koyan, Rebana Ubi DBKL dan Astana Dharma, Sekolah Seni Malaysia Johor.

Peserta PGN 2024 bergambar kenang-kenangan selepas program berakhir.

Kumpulan antarabangsa pula membabitkan kumpulan dari Poland, Sri Lanka, Korea dan Thailand manakala kumpulan penggendangan dari Akademi Seni Budaya Warisan dan Kebangsaan (ASWARA) Melayu, Kelab Kebudayaan dan Kesenian Cina UTeM, ASWARA India, Malaysia Banghra Group Dhol’s (Sikh), Kesenian Orang Asli Parit Gong, Rebana Ubi Majlis Perbandaran Alor Gajah, Kumpulan Tumbuk Kalang dan Kumpulan Penggendangan Jawa/Nusantara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.