19 Januari 2024, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Dalam usaha menghargai anak kelahiran Negeri Melaka yang berjaya serta menyumbang bakti pada peringkat kebangsaan dan di persada dunia, kerajaan negeri bakal memperkenalkan Anugerah Seri Melaka (ASM) buat julung kalinya pada tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata penerima ASM itu dipilih menjadi ikon kebanggaan Melaka berdasarkan kejayaan yang dicapai mereka dalam bidang masing-masing seperti perkhidmatan awam, korporat, sukan dan seni budaya.

“Pencalonan anugerah yang terbahagi kepada empat kategori, iaitu kategori perkhidmatan awam, korporat, seni budaya dan sukan ini telah dibuka secara dalam talian yang boleh diakses melalui laman sesawang rasmi, di https://www.asm-melaka.my/ bermula 2 Januari 2024 sehingga 31 Mac depan.

“Antara syarat pencalonan ialah calon telah menghasilkan dampak yang signifikan melalui sumbangan yang telah dijalankan; telah menerima anugerah atau pengiktirafan daripada badan profesional pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa dalam tempoh lima tahun terakhir termasuk tahun yang dinilai.

“Selain itu, calon juga terdiri daripada pelbagai kaum dan menunjukkan kepimpinan serta kecemerlangan secara berterusan dalam bidang yang diterajui,” katanya.

Ujar YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh lagi, calon akan dicadangkan oleh Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) untuk dinilai oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan di peringkat negeri,”katanya.

Katanya, banyak tokoh pernah mendapatkan pendidikan awal di Negeri Melaka yang berjaya mencipta nama dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan awam, politik, sukan, hiburan dan perniagaan.

“Menjadi hasrat kerajaan negeri agar tokoh-tokoh ini nanti boleh bersama-sama menyumbang idea untuk pembangunan Negeri Melaka,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.