5 Februari 2024, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah menghantar pencalonan tapak FRIM Forest Park Selangor (FRIM FPS) kepada pihak UNESCO untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia bagi sesi penilaian 2024/2025.

Menurut MOTAC, dokumen pencalonan tersebut telah dikemukakan kepada pihak sekretariat UNESCO di Paris melalui Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO Paris pada 29 Januari 2024.

“Usaha pencalonan tapak ini telah bermula sejak tahun 2017, dokumen Tentative List telah dihantar kepada pihak UNESCO pada 31 Januari 2017 dan keputusan bagi pencalonan ini dijangka bakal diketahui pada Jun atau Julai tahun 2025 dengan proses penilaian sekitar 18 bulan bermula dari tarikh penghantaran dokumen pencalonan,” kata MOTAC dalam satu kenyataan baru-baru ini.

MOTAC berkata penyediaan dokumen dossier pencalonan dibuat dengan pelibatan beberapa buah agensi berkaitan terutamanya pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan diselaraskan oleh pihak JWN bagi memastikan dokumen tersebut memenuhi kriteria yang telah ditetapkan UNESCO.

Katanya, penyenaraian di bawah World Heritage List UNESCO amat diingini oleh banyak negara kerana hal tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi di peringkat dunia bagi tapak warisan.

Tambahnya, selain dapat memberikan promosi dan mengetengahkannya di peringkat dunia, pengiktirafan ini juga memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak-tapak warisan di Malaysia.

“Pada masa sekarang, Malaysia telah mempunyai empat Tapak Warisan Dunia UNESCO, iaitu Taman Negara Gunung Mulu (2000), Taman Kinabalu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008) serta Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012),” maklum MOTAC.

Menurut MOTAC, keputusan pencalonan bagi tapak Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak bakal diketahui pada bulan Jun atau Julai tahun 2024. Sekiranya berjaya, Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang kelima di Malaysia.

Tambahnya, Malaysia juga sedang dalam usaha untuk mencalonkan beberapa lagi tapak sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada masa akan datang iaitu Taman Negeri Royal Belum dan Pusat Kawalan Kusta Negara.

“Kementerian juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan daripada pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor terutama FRIM dalam memastikan usaha pencalonan dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

MOTAC memaklumkan bantuan turut diperoleh daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuk pihak Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO Paris dan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM).

MOTAC berharap agar pencalonan ini berjaya mendapat pengiktirafan bagi menaikkan lagi nama Malaysia di persada antarabangsa dalam usaha untuk memastikan warisan negara terus dilindungi agar dapat disampaikan kepada generasi akan datang.

Kementerian turut berharap usaha ini akan memberikan nilai tambah kepada FRIM FPS sebagai salah satu produk pelancongan utama di Negeri Selangor dan seterusnya dapat menjanakan ekonomi kepada komuniti, negeri dan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.