19 Februari 2024, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala LumpurRain Town, filem kedua arahan Tunku Mona Riza (selepas Redha pada tahun 2016), terbitan Current Pictures Sdn. Bhd., yang mengangkat kisah kekeluargaan, merupakan filem pertama di Malaysia yang dihasilkan dalam bahasa Kantonis.

Pengarah Rain Town, Tunku Mona Riza Tunku Khalid.

Rain Town juga secara tidak langsung menobatkan Tunku Mona sebagai pengarah wanita Melayu yang pertama mengarahkan filem berbahasa Kantonis.

Menurut Mona, beliau mendapat idea menghasilkan Rain Town apabila diberitahu oleh seorang jurugambar kira-kira tujuh tahun lalu tentang pertaruhan hujan, iaitu bertaruh dengan meneka waktu hujan yang pernah berlaku suatu masa dahulu di Taiping.

Ketika itu, tambah Mona, beliau sangat tertarik kerana kisah tersebut merupakan sebuah cerita yang memikat. Walau bagaimanapun, beliau tidak bercadang menghasilkan sebuah cerita tentang pertaruhan, atau perjudian semata-mata.

Sebaliknya, Mona mencipta watak bernama Choo (lakonan Chew Kim Wah) yang suka bertaruh, seorang pesara, dan bapa yang suka mengatur kehidupan anak-anak yang meningkat dewasa, sehingga tercetus konflik.

Mengulas tentang judul filem, Mona menyatakan bahawa Rain Town dipilih kerana lokasi penggambaran selama hampir sebulan dijalankan di Taiping, yang diketahui sebagai kawasan menerima taburan hujan paling banyak di Malaysia.

Namun demikian, tambah beliau, jalan cerita Rain Town hanyalah rekaan semata-mata, dan tiada kena-mengena dengan sesiapa yang masih hidup atau telah mati.

Rain Town turut dibintangi aktres veteran Susan Lankester sebagai Aileen (isteri Choo), serta Fabian Loo, Wilson Lee, dan Pauline Tan sebagai anak mereka, iaitu masing-masing Isaac, Alex, dan Ruby.

Chew Kim Wah sebagai Choo.

Walaupun Current Pictures telah menerbitkannya pada tahun 2022, dan hanya bersaiz kecil, tetapi buku berjudul Rain Town: Behind The Scene, yang memuatkan gambar-gambar di sebalik tabir pembikinan Rain Town, tetap relevan dengan tayangan filem berkenaan.

Antara lain, buku ini memuatkan gambar-gambar Kim Wah, Lankester, Loo, Lee dan Tan ketika menjalani penggambaran. Selain itu, dipaparkan juga gambar Mona, dan kru penggambaran sewaktu bekerja.

Buku ini turut memuatkan keratan-keratan akhbar dan portal tempatan tentang penerbitan, serta penghargaan terhadap Rain Town, selain beberapa sedutan skrip.

Rain Town terlibat dengan banyak festival filem antarabangsa. Justeru, penerbit tidak lupa memaparkan senarai penyertaan tersebut pada kulit belakang buku ini.

Antaranya ialah Festival Filem Dunia Asia ke-9, Festival Filem Antarabangsa Laluan Sutera ke-10, Festival Filem Rooster Emas ke-16, Festival Filem Antarabangsa India ke-54, dan Festival Filem Asia Vancouver ke-27 untuk Pilihan Rasmi, serta Festival Filem Antarabangsa Asia Bintang Pertama (bertanding), dan Festival Filem Medan Pertama (tayangan pembukaan).

Penerbit juga memasukkan nama beberapa orang tokoh perfileman tanah air, seperti pengarah, Dr. Ahmad Idham, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim, Hassan Muthalib, dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), YBhg. Dato’ Kamil Othman.

Pauline Tan sebagai Ruby.

Gambar ketika blok pertama penggambaran dari 6 hingga 22 Ogos 2022 di Taiping, blok kedua penggambaran (15-29 Ogos 2022, di Kundang), blok ketiga penggambaran (30 Ogos – 8 September/Taiping), dan blok keempat penggambaran (10-15 Oktober 2022/Hospital UCSI Lukut, Port Dickson; serta Drum Asia dan Heritage Row, Kuala Lumpur) juga dimuatkan dalam buku ini.

Rain Town: Behind The Scene turut memaparkan nama-nama kru produksi penting; nama lokasi penggambaran di Taiping, Kundang, Kuala Lumpur dan Lukut, pasukan pengedaran filem, pasukan pemasaran/perhubungan awam, pasukan media sosial, kesemua pelakon utama dan tambahan termasuk Radhi Khalid, Luqman Hafidz, dan Mandy Chong, penasihat perubatan, penaja, perkhidmatan pos produksi, dan lain-lain.

Kerjasama pihak keselamatan awam, iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Tuan ACP Skandaguru Anandan, Ketua Komunikasi Korporat PDRM; dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak (Tuan PKPBJB Azmi Osman) turut dihargai.

Seperkara yang penting, buku di sebalik tabir ini tidak akan terhasil tanpa beberapa tenaga di sebalik tabir, iaitu Jo Ghazali sebagai penerbit; Lowbye sebagai juruvideo, dan Hazwan Boi sebagai jurufoto.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.