20 Februari 2024, 20:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Siput – Menyedari akan kepentingan untuk meningkatkan daya saing dan taraf hidup komuniti seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Persatuan Prihatin Komuniti Negeri Perlis (CommUnicare) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menganjurkan Program Eskursi Rapat Sukarelawan dan Cakna Komuniti (ESKOM) Orang Asli pada 18 Februari hingga 20 Februari 2024.

Program perkongsian ilmu yang dilaksanakan di Kampung Beswok, Pos Yum, Sungai Siput Perak itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada komuniti orang asli tentang produk hiliran bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan yang telah diusahakan oleh mereka. 

Sesi demonstrasi pembuatan sabun menggunakan minyak masak terpakai disampaikan oleh Puan Nurfirdaus Abd Rashid selain penerangan tentang kebaikan dan manfaat daripada aktiviti tersebut.

Peserta diajar untuk menghasilkan sabun buatan tangan.

Turut diadakan ialah sesi praktikal yang dikendalikan oleh lapan orang sukarelawan dalam kalangan ahli persatuan dan pensyarah UiTM Cawangan Perlis. Menerusi sesi tersebut, sebanyak 20 orang asli berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman menghasilkan sabun. 

 

Menurut Tok Batin, Mohd Daud Anjang, 57, ketua penduduk orang asli Temiar Kampung Beswok, Pos Yum, program seumpama itu dapat meningkatkan daya saing dan mencambah idea kreatif komuniti orang asli dalam mempelbagaikan produk dan aktiviti pelancongan sedia ada melalui produk yang memiliki keunikan dan identiti tersendiri.

 

Beliau dan semua pihak yang terlibat turut berterima kasih dan menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama erat dalam menjayakan program pemindahan ilmu seumpama itu pada masa akan datang bersama pihak UiTM Cawangan Perlis.

 

Berbekalkan slogan For Community from University, beberapa siri program komuniti akan diadakan sebagai inisiatif pihak persatuan dan UiTM Cawangan Perlis untuk berbakti kepada komuniti setempat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.