22 Februari 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Filem terakhir terbitan Metrowealth Pictures (Metrowealth) ialah Kolesterol vs Cinta, arahan Eyra Rahman pada tahun 2017 yang bercorak komedi romantik, dibintangi Kamal Adli dan Tiz Zaqyah.

Setelah kira-kira 16 tahun menyepi dan berhenti menerbitkan filem cereka, Metrowealth kini telah menyiapkan penggambaran dan menunggu tarikh tayangan bagi empat buah filem, iaitu Cheongsam Merah Darah, Ngesot, Citra Apartment dan Pontianak 200KG.

Pada 19 Februari lalu, bertempat di Wisma Metrowealth, Pusat Dagangan Petaling Jaya Selatan, PJCC, telah berlangsung majlis Sidang Media dan Doa Selamat Filem Jangan Pandang Belakang 2.

Jangan Pandang Belakang 2 (Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu) merupakan sekuel bagi Jangan Pandang Belakang (JPB – 2007) yang menjadi fenomena filem paling seram tanah air. Filem tersebut mencatat sejarah apabila memperoleh nilai kutipan tiket filem Melayu tertinggi di Malaysia, iaitu RM 6.33 juta, dan mencecah RM 7.4 juta, serta merangkul anugerah Box Office dalam Festival Filem Malaysia ke-20.

Tugas Pierre Andre (tiga dari kiri) sebagai pengarah dibantu oleh Azaromi Ghozali, pengarah filem Waruga: Kutukan Ilmu Hitam.

Mengulas persoalan mengapa mengambil masa 17 tahun untuk menyambung JPB, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth, Mejar (K) David Teo memberitahu banyak kesukaran dan masalah yang menghalang.

“Ramai yang maklum bahawa saya dan Pierre Andre pernah berselisih faham. Pergeseran itu pula seperti sukar berakhir. Menunggu kemunculan semula Pierre memang perit, sehingga saya tertanya-tanya adakah beliau akan terus merajuk atau marah,” tambah David yang penuh yakin hanya Pierre paling layak mengarahkan Jangan Pandang Belakang 2 kerana beliau pelakon utama, dan penulis asal JPB.

Mengenai faktor penerbitan Jangan Pandang Belakang 2, David memberitahu beliau mahu berkongsi dengan penonton pengalaman mistik yang dilaluinya. Pengalaman itu, katanya, telah mencetuskan ilham kepada beliau, dan memilih untuk menjadikan JPB sebagai platform penceritaan.

“Sehubungan itu, saya berharap filem sekuel ini turut menjadi satu gelombang fenomena seperti 17 tahun lalu,” ujar David.

Mengenai sanggahan beberapa pihak terhadap pemberian dana kandungan digital (DKD) oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk penerbitan Jangan Pandang Belakang 2, beliau menjelaskan bahawa ramai tidak tahu bahawa DKD diberikan oleh FINAS kepada filem bertaraf legenda.

JPB, ujar David, sudah bertaraf filem legenda. Oleh itu, kata beliau lagi, pembiayaan penerbitan filem sekuelnya juga layak dibantu dengan pemberian DKD.

Sementara itu, Pierre yang turut menghadiri majlis sidang media dan doa selamat tersebut menjelaskan mengapa beliau tiba-tiba muncul semula dalam perfileman tanah air selepas kali terakhir mengarahkan Kecoh Primadona Kena Hantu (2016).

Kata Pierre, beliau bersyukur dan gembira kerana akhirnya dapat memenuhi hasrat mengarahkan JPB yang tidak kesampaian.

“Terima kasih Metrowealth, terutama Tuan David yang menaruh kepercayaan penuh pada saya,” katanya yang pernah digelar sebagai pengarah “raja filem seram”.

Atas keyakinan kerana dianggap memiliki kelebihan untuk melihat, dan merasai perkara mistik, beliau berharap dapat menghasilkan Jangan Pandang Belakang 2 dengan cemerlang jika pun tidak setanding JPB, arahan Dr. Ahmad Idham.

Dengan kemunculan semula mengarahkan filem terbaharu terbitan Metrowealth ini, boleh dianggap sengketa Pierre dan David telah berakhir.

Selain David dan Pierre yang mengakui memikul tanggungjawab berat mengarahkan filem sekuel ini, turut hadir ialah para pelakon Jangan Pandang Belakang 2, iaitu Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Ruminah Sidek, dan Kel Narina, serta Ustaz Fauzan Ab. Samad yang sering memimpin bacaan doa selamat majlis-majlis anjuran Metrowealth.

Namun demikian, pelakon lain JPB yang dikekalkan seperti Khatijah Tan, Cat Farish dan Hafidzuddin Fazil tidak dapat hadir kerana ada komitmen kerja masing-masing. Ruminah atau Mak Mah juga adalah pelakon asal JPB sebagai Opah.

Sementara itu, Emma memberitahu beliau tidak menyangka sama sekali dipilih membintangi Jangan Pandang Belakang 2. Meskipun mengakui tugas berat yang perlu dipikulnya, tetapi beliau berazam memberikan lakonan terbaik.

Demikian juga dengan Alif, Mawar dan Kel yang bakal menjayakan watak masing-masing dalam filem yang mahu meneruskan fenomena JPB ini.

Ruminah Sidek (tengah) diapit Iedil Dzuhrie Alaudin (tiga dari kiri), dan Emma Maembong (tiga dari kanan) serta pelakon-pelakon lain.

Iedil yang terpilih memegang watak utama turut gembira membintangi Jangan Pandang Belakang 2 meskipun corak seram bukanlah kegemarannya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan David kerana memberikan tawaran kepada saya walaupun amat jarang membintangi filem bercorak seram,” kata Iedil yang membintangi Kajiman: Iblis Terkejam Penagih Janji pada 2022 dari Indonesia sebagai filem seramnya yang pertama.

David sebelum itu mengakui kesukaran untuk mendapatkan Iedil kerana pelakon berbakat besar tersebut telah dikenali ada kecenderungan sendiri.

Ruminah pula teruja sungguhpun menyedari usia wataknya lebih tua. Walau bagaimanapun, beliau berjanji para penonton tidak akan kecewa dengan penampilannya sebagai Opah nanti.

Memulakan penggambaran pada 20 Februari lalu, Jangan Pandang Belakang 2 menyambung kisah saka keluarga Opah yang mencari tuan baharu untuk didampingi.

Namun demikian, ada sesuatu yang menghalang, dan itu lantas membawa pelbagai kejadian yang menyeramkan.

David memberitahu, Jangan Pandang Belakang 2 akan menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.