28 Februari 2024, 13:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketika menyempurnakan perasmian Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu 2024, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Dr. Zaliha Mustafa menyatakan bahawa tapak festival berkenaan akan dikekalkan sebagai lokasi penganjuran acara, program atau festival secara berkala.

 “Inisiatif ini akan dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta badan bukan kerajaan atau NGO, agar Kampong Bharu kekal meriah subur sebagai sebuah kampung dalam bandar raya yang masih mengekalkan warisan, budaya dan tradisi, tetapi lengkap dengan infrastruktur moden,” ujar Dr. Zaliha.

Penambahan fasiliti awam dan menaik taraf kemudahan rekreasi di Kampong Bharu, tambah beliau, dapat memberikan impak yang positif terhadap perkembangan ekonomi tempatan.

YB Dr. Zaliha Mustafa ketika berucap merasmikan Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu 2024.

“Ikatan sosial dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti tempatan dengan kepelbagaian budaya, serta keunikan warisan menjadi asas kepada keharmonian komuniti Malaysia MADANI di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” kata Zaliha.

Tambah beliau, penganjuran mini festival ini bukan sahaja membawa kegembiraan dalam kalangan pengunjung, malah memberi impak yang positif terhadap ekonomi tempatan, sekali gus memberikan sokongan kepada industri kreatif tempatan.

Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu 2024 berlangsung di Medan Pintasan Saloma dari pukul 9 pagi sehingga 11 malam. Festival tersebut dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) bersama-sama NGO, bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024, dan 50 Tahun Wilayah Persekutuan, bagi meraikan penduduk sekitar dan pengunjung.

Pertandingan peragaan busana tradisional turut dianjurkan bersempena dengan Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu 2024.

Lebih penting lagi, festival berkenaan juga bertujuan menonjolkan warisan budaya dan pelbagai juadah makanan yang terdapat di Kampong Bharu kepada orang ramai termasuk para pelancong dari luar negara.

Menurut Dr. Zaliha, festival istimewa jubli emas tersebut memperlihatkan perjalanan yang cemerlang dan gemilang dalam mengukuhkan kesatuan, serta keharmonian warga Wilayah Persekutuan, khususnya penduduk Kampong Bharu.

“Tidak dinafikan warisan masakan Melayu dan seni budaya yang membanggakan menjadi salah satu tarikan dalam usaha mempromosikan Kampong Bharu sebagai lokasi pilihan kepelbagaian jenis makanan di tengah-tengah ibu kota,” ujar beliau.

YB Dr. Zaliha Mustafa sempat meluangkan masa bermain congkak bersama-sama pengunjung yang hadir.

Penganjuran festival sebegini, tambah Dr. Zaliha, selaras dengan usaha melestarikan pelancongan di Wilayah Persekutuan, yang merupakan satu daripada enam fokus utama yang dibentangkannya pada Majlis Aspirasi 2024 baru-baru ini.

Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu 2024 dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pemberian bubur lambuk percuma kepada para pengunjung, pertandingan memasak, serta pertandingan busana Melayu.

Di samping lebih 40 orang peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai hidangan makanan tradisional Melayu sebagai tarikan utama, festival berkenaan turut menampilkan pertunjukan seni dan budaya seperti tarian tradisional, persembahan nyanyian kebudayaan, peragaan busana tradisional, dan pameran seni kraf tempatan.

Justeru, orang ramai berpeluang membeli produk buatan tangan seperti songkok, capal, batik dan pelbagai lagi barangan kraf tempatan asli yang berkualiti tinggi.

YB Dr. Zaliha Mustafa mengacau bubur lambuk sambil diperhatikan oleh YBhg. Dr. Amir Raslan Abu Bakar (busana kuning) dan YBhg. Datuk Sr. Hj. Kamarulzaman Mat Salleh (kanan sekali).

Turut menghadiri majlis perasmian ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKB, YBhg. Dr. Amir Raslan Abu Bakar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Sr. Hj. Kamarulzaman Mat Salleh; Pengarah (Pengurusan & Komunikasi Korporat), YBrs. Encik Shahrul Ezad Samsudin; Pengarah (Perancangan Pembangunan dan Ekonomi), YBrs. Dr. Khairul Nizam Othman; serta warga PKB, warga penduduk Kampong Bharu, dan para tetamu jemputan.

Foto: Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.