28 Februari 2024, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Unit Komunikasi Korporat dan Pejabat Rektor, UiTM Cawangan Perlis telah mengunjungi Batik Inderawasih di Kampung Ngulang, Kangar, Perlis.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk meninjau peluang kerjasama strategik, mendapatkan maklumat tentang produk batik yang ditawarkan serta menghayati keindahan seni dan warisan batik Negeri Perlis yang diusahakan oleh Batik Inderawasih.

Delegasi UiTM Cawangan Perlis berpeluang melihat koleksi eksklusif seni kraf batik yang bercirikan Negeri Perlis. Corak dan lukisan batik dihasilkan dengan penuh ketelitian di atas helaian baju, tudung dan penutup mulut selain kain berbingkai dengan variasi warna boleh dijadikan perhiasan di dinding rumah atau pusat komersial. Antara yang menarik perhatian termasuklah corak bunga harum manis yang sangat unik.

Puan Zarina Salleh (pemilik berkongsi maklumat tentang produk dan peluang kolaborasi bersama pihak UiTM Cawangan Perlis.

UiTM Cawangan Perlis bersedia untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan, mengenal pasti peluang pemasaran produk dan penghasilan produk inovasi kraf berpotensi bersama dengan Batik Inderawasih. Batik Inderawasih pula bersedia menawarkan peluang kepada mahasiswa UiTM Cawangan Perlis yang berminat untuk menjalani latihan industri di bengkel mereka.

“Batik tempatan terutamanya batik Perlis mempunyai banyak potensi dan nilai seni serta kebudayaan yang belum diterokai sepenuhnya,” kata YBhg. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk memperkenalkan dan memartabatkan warisan batik Perlis untuk warga tempatan dan pelancong agar tidak dilupakan,” katanya lagi.

Puan Zarina Salleh yang juga pemilik Batik Inderawasih berbesar hati membawa ahli rombongan ke bengkel yang sering menjadi tumpuan pelancong untuk mencuba teknik melukis dan mewarna corak batik.

Pelawat boleh membeli DIY Batik Painting Kit untuk merasai pengalaman menghasilkan corak batik dengan dibantu oleh staf Batik Inderawasih.

Walaupun seni batik terkenal di negeri-negeri pantai timur Malaysia seperti negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, warisan seni batik Perlis yang unik wajar dipertahankan agar identiti seni dan budaya negeri ini dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Delegasi UiTM Cawangan Perlis diketuai oleh YBhg. Rektor mencuba teknik mewarna corak batik di bengkel Batik Inderawasih.

UiTM sentiasa menyokong usaha Batik Inderawasih dalam memartabatkan dan memelihara seni warisan Malaysia, sekali gus menjadi destinasi pelawat bagi menyemarakkan lagi Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah, Rektor Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis), YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi; Koordinator Unit Komunikasi Korporat, Puan Eliy Nazira Mat Nazir; Penyelaras Pengurusan Majlis dan Protokol, Encik Gs. Sharir Aizat Kamaruddin; Penyelaras Promosi, Aduan dan Penerbitan, Dr. Rozilah Rajmi; Pereka Grafik, Encik Zainon Shaari; dan Pegawai Eksekutif, Encik Mohd Zaini Zainal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.