1 Mac 2024, 12:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Istana Budaya tetap akan menganjurkan tiga program utama pada tahun ini untuk dipersembahkan kepada masyarakat meskipun fungsinya sebagai penyedia pentas ditangguhkan sementara.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Puan Zubaidah Mukhtar berkata tiga program tersebut ialah Jangkauan OTM: Sounds of Malaysia, Lambang Sari Series dan Teater Muzikal Puteri Hang Li Po.

Tambah beliau, ini merupakan peluang terbaik untuk Istana Budaya membawakan persembahan bertaraf dunia kepada masyarakat. Antara lokasinya adalah di Melaka bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024, sekali gus merancakkan lagi sektor kebudayaan dan pelancongan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBrs. Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff ketika menyempurnakan gimik perasmian majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2024 dan Buku Rekaan Kostum.

Sementara itu, Istana Budaya dalam kenyataannya semalam berkata tiga produk utamanya iaitu Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan Artis Tari Istana Budaya (ARTISTANA) tetap meneruskan siri jelajah Kempen Gerak ke beberapa buah lokasi bagi membangunkan kecemerlangan artistik dalam seni persembahan bertaraf dunia.

“Program Jangkauan OTM: Sounds of Malaysia merupakan program kerjasama Istana Budaya dengan institut pengajian tinggi awam dan swasta yang turut melibatkan mahasiswa serta alumni sebagai satu platform seni persembahan dan perkongsian ilmu muzik tradisional Malaysia menerusi bengkel yang akan diadakan kelak,” katanya.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Puan Zubaidah Mukhtar ketika berucap dalam majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2024 dan Buku Rekaan Kostum.

Menurut Istana Budaya juga, kejayaan program Lambang Sari Series akan diteruskan pada tahun ini kerana telah terbukti melalui jumlah jualan tiket yang memberangsangkan pada tahun lalu, sementara OSK kekal membawa corak muzik yang unik, iaitu jenis klasikal dan pop dengan tema klasikal barat, patriotik dan bersama bintang.

Teater Muzikal Puteri Hang Li Po kembali dihidupkan dengan nafas baharu dengan mengimbau sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka seperti yang pernah dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada tahun 2004.

Tambahnya, pementasan ini juga adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China dan akan dipentaskan secara ekslusif di pentas Encore, Melaka.

Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2024 dan Buku Rekaan Kostum telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBrs. Encik Mohd Yusri Mohd Yusoff, di Balai Seni Negara semalam.

Dua buku rekaan kostum, iaitu Teater Muzikal Hang Li Po dan Muzikal Cheng Lock dan Teater Kanak-Kanak Muzikal Ali Baba dan Muzikal Sinbad merupakan penerbitan ilmiah tentang proses rekaan dan penyediaan kostum yang digunakan dalam persembahan terbitan Istana Budaya.

Menurut Encik Badrul Zaman Abdul Jalil selaku pengarang atau editor, buku tersebut amat bermanfaat sebagai koleksi serta bahan rujukan kepada penggiat seni dan juga pelajar-pelajar pengajian seni dalam merealisasikan sesebuah rekaan kostum seni persembahan.

Buku Teater Muzikal Hang Li Po dan Muzikal Cheng Lock dan Teater Kanak-Kanak Muzikal Ali Baba dan Muzikal Sinbad turut dilancarkan pada majlis yang berlangsung di Balai Seni Negara.

Bagi tahun 2024, Istana Budaya menyasarkan pelibatan serta penyertaan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak dan masyarat selain sokongan terhadap persembahan anjuran Istana Budaya.

Istana Budaya juga sentiasa terbuka memberikan peluang kepada syarikat-syarikat tempatan sebagai rakan strategik serta penggiat seni tanah air untuk bekerjasama dalam menganjurkan persembahan di dalam dan luar negara sepanjang tempoh bangunan Panggung Sari ditutup.

Panggung Sari Istana Budaya kini masih belum dibuka kerana kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan khususnya  struktur bumbung seperti yang telah dihebahkan secara rasmi pada 15 Januari 2024 dan dijangkakan akan beroperasi semula pada tahun 2026 bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.