7 Mac 2024, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Pesta Angin Timur 2024 (PAT 2024) yang berlangsung pada 1 Mac hingga 3 Mac lalu di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang, Arau, Perlis merupakan edisi ke-12 penganjurannya.

Pesta tersebut berlangsung dengan meriah dan menampilkan pelbagai acara seni dan budaya untuk dinikmati oleh masyarakat tempatan serta para pelancong.

Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli dan Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman bersama-sama menyempurnakan gimik perasmian PAT 2024.

Majlis perasmian PAT 2024 pada 2 Mac disempurnakan secara bersama oleh Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli dan Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing.

Menurut Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), antara aktiviti menarik yang dilaksanakan bersempena dengan PAT 2024 ialah Pertandingan Silat Seni Kreatif Berpasukan, PAT Extreme Mud Obstacle Challenge, Fancy Fun Run, pertandingan paramotor, kayak selain aktiviti belon udara panas dan pertunjukan payung terjun.

Pertandingan PAT Extreme Mud Obstacle Challenge julung-julung kali diadakan menarik penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.

“Pertandingan PAT Extreme Mud Obstacle Challenge julung-julung kali diadakan pada tahun ini dan melibatkan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara. Tambah menarik, PAT 2024 pada tahun ini turut melibatkan 2,000 orang peserta dalam lebih 40 acara pertandingan untuk merebut hadiah menarik yang ditawarkan,” kata JKKN dalam satu kenyataan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman dalam kenyataan yang sama berkata matlamat utama penganjuran pesta tersebut adalah untuk mempromosikan aktiviti kebudayaan tempatan sebagai salah satu produk industri pelancongan negeri Perlis serta menyemarakkan kesenian, kebudayaan dan tradisi masyarakat tempatan kepada masyarakat luar.

Beliau juga berkata bahawa usaha tersebut merupakan langkah untuk menjadikan Perlis yang masih utuh dengan kesenian tradisional sebagai lokasi tarikan pelancong khususnya bersempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Aktiviti pembuatan garam belacan bersempena dengan PAT 2024 tercatat dalam The Malaysia Book of Records.

 Sementara itu, JKKN juga bekerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perlis menganjurkan aktiviti pembuatan garam belacan bersempena dengan PAT 2024.

Pembuatan garam belacan adalah antara aktiviti seni budaya tempatan yang popular di negeri Perlis. Acara tersebut telah menghimpunkan 1,000 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Siam serta Sikh. Acara tersebut juga telah dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.