8 Mac 2024, 17:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Dalam usaha memartabatkan dan memasyarakatkan bahan arkib sebagai khazanah warisan negara, Arkib Negara Malaysia (ANM) akan melaksanakan program Arkib Komuniti bagi memastikan bahan tersebut sentiasa kekal terpelihara.

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata menerusi program berkenaan, pihaknya akan berusaha mengumpulkan semua dokumen dan bahan berkaitan sejarah negara untuk disimpan di ANM.

YB Datuk Aaron Ago Dagang menyampaikan buku KarTunku 1957-1963: Lakaran Eksklusif Bapa Kemerdekaan, Bapa Malaysia kepada Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong.

Menurutnya, program Arkib Komuniti itu adalah sebahagian daripada usaha ANM untuk memasyarakatkan arkib bagi memperkasakan peranan masyarakat dalam memelihara khazanah warisan negara.

“Ini ialah hasrat baharu kita kerana banyak sejarah dan peristiwa di peringkat komuniti yang dari dahulu sebelum merdeka, semasa penjajahan British dan sebagainya masih tidak dapat dikumpulkan dengan begitu banyak.

“Oleh itu, kita akan berusaha sebaik mungkin untuk mengumpulkan sebanyak-banyaknya (bahan) sejarah daripada tokoh-tokoh, individu dan komuniti untuk dibawa kepada ANM dan disimpan sebagai bahan rujukan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan wacana ilmu sempena peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1956 dan Pelancaran buku KarTunku 1957-1963: Lakaran Eksklusif Bapa Kemerdekaan, Bapa Malaysia di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini baru-baru ini.

Antara ahli panel wacana ilmu sempena peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1956.

Yang turut hadir ialah Timbalannya Senator K Saraswathy, Ketua Pengarah ANM, Datuk Jaafar Sidek serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Ngwe Hee Sem.

Dalam perkembangan berkaitan, YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata ANM juga sentiasa berusaha membawa balik bahan-bahan berkaitan sejarah negara yang berada di luar negara agar boleh disimpan sebagai khazanah negara.

YB Datuk Aaron Ago Dagang merasmikan wacana ilmu sempena peristiwa Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1956 dan pelancaran buku KarTunku 1957-1963: Lakaran Eksklusif Bapa Kemerdekaan, Bapa Malaysia di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.

“Arkib sentiasa mengadakan kunjungan ke luar negara, cuma mungkin yang menjadi kekangan ialah belanjawan kita, tetapi setakat ini semuanya baik dan usaha ini akan diteruskan dari masa ke masa bagi memastikan pengumpulan koleksi warisan negara dapat dilakukan,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.