14 Mac 2024, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Teluk Intan – Mohamad Zulkifli Mohd Jais menerusi karyanya Temporary Marking, yang memerihalkan Menara Condong Teluk Intan menerusi perspektif seni dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama Pertandingan Bakat Muda Sezaman (BMS) 2023 anjuran Balai Seni Negara (LPVSN).

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan perasmian majlis penganugerahan Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2023.

Pertandingan tersebut dianjurkan secara dwitahunan dan terbuka kepada seniman-seniman muda berumur 35 tahun ke bawah

“BMS kini menjadi tonggak penting dalam menggalakkan perkembangan bakat-bakat muda seni kontemporari sejak dianjurkan bermula tahun 1974,” kata Balai Seni Negara dalam satu kenyataan.

Menurut Balai Seni Negara lagi, pada edisi kali ini, Pertandingan Bakat Muda Sezaman menerima 68 penyertaan awal dan sebanyak 47 orang peserta berjaya ke peringkat penjurian dan hanya 15 orang peserta yang layak ke peringkat akhir.

BMS pada tahun ini mengekalkan tema edisi sebelumnya, iaitu “Seni di Lokasi” yang mengajak para seniman muda tempatan mendekati alam semula jadi dan berinteraksi dengan masyarakat.

Tambahnya, tema ini dilihat mampu menjadi platform buat mereka untuk melontarkan idea dan kreativiti di lokasi yang berbeza selain memberi cabaran dalam menyampaikan mesej melalui karya yang dihasilkan.

“Pemenang BMS 2023 dinobatkan menerusi Anugerah Utama dengan wang tunai sebanyak RM30,000 manakala terdapat empat orang pemenang yang dipilih untuk menerima Anugerah Juri dengan wang tunai berjumlah RM 15,000 sementara sepuluh orang peserta dengan undian tertinggi juga dipilih bagi Pilihan Pelawat (Atas Talian) dan Pilihan Pelawat (Di Lokasi) yang masing-masing menerima wang tunai bernilai RM1000.”

Para pemenang pertandingan BMS 2023 bergambar bersama-sama tetamu kehormat.

Majlis penganugerahan Pertandingan BMS 2023 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Menara Condong Teluk Intan, Perak baru-baru ini.

Pemilihan lokasi bagi majlis tersebut merupakan usaha untuk mengangkat lokasi unik dan menarik di negeri Perak sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani  Mohamad, Pengerusi LPVSN, YBrs. En. Shaik Rizal Sulaiman dan Ketua Pengarah LPVSN,  YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Pegawai-Pegawai Kanan Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Pegawai-Pegawai Kanan MOTAC.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.