14 Mac 2024, 16:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh – Bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Kerajaan Negeri Melaka bakal mempamerkan 40 dokumen dan artifak bagi memperkukuh kewujudan Hang Tuah kepada rakyat Melaka menerusi Ekspo Penyelidikan Hang Tuah pada Mei 2024.

Ketua Menteri, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, artifak dan dokumen yang bakal dipamerkan itu adalah hasil penyelidikan menerusi Institut Kajian Tuah (IKAT) yang ditubuhkan di bawah Universiti Islam Melaka (UNIMEL) sebagai pusat sehenti rujukan dan pengumpulan maklumat mengenai Hang Tuah.

Menurut YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, bagi merealisasikan matlamat itu, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk membawa dokumen dan artifak yang ditemui menerusi sumber-sumber baharu yang diperoleh di Eropah dan Asia untuk dipamerkan kepada rakyat.

“Hasil Kajian Penyelidikan Mengukuh Kewujudan Hang Tuah, sumber-sumber baharu ini telah diperoleh di Eropah dan Asia, antaranya manuskrip Hikayat Hang Tuah tertua di dunia yang bertarikh 1758 dan Hikayat Hang Tuah yang diterjemahkan dalam beberapa bahasa asing di Leiden University, Belanda.

“Turut ditemui ialah Peca de Malaca di Museu Militar de Lisbao iaitu selaras meriam yang dihadiahkan oleh Raja Calicut, India kepada Sultan Melaka semasa menentang serangan Portugis dan peta lama Planisfera Cantino yang tercatat nama Malaqua bertarikh 1502 di Museu Marinha, Lisbon.

“Selain itu, keris luk sembilan dan dokumen rekod rasmi, Rekidai Hoan, Kerajaan Ryukyu ditemui di Pusat Arkeologi Okinawa, Jepun yang mengandungi 19 surat kerajaan Ryukyu kepada kerajaan Melaka serta 11 surat daripada Kerajaan Melaka sekitar tahun 1480 antaranya surat tersebut tertera nama laksamana,” katanya.

YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga menyatakan bahawa usaha yang dilakukan itu adalah bagi menyelesaikan kekusutan sejarah selama ini. Penyelidikan tersebut dijayakan dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) selain UNIMEL yang membawa kepada banyak penemuan artifak dan dokumen yang mengukuhkan kewujudan Hang Tuah sejak kurun ke-15.

“Hasil penyelidikan ini membuktikan Hang Tuah ialah pahlawan yang hebat dan bijaksana dan pernah ke negara China, Jepun, India, Turki dan Rom,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.