14 Mac 2024, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pembukaan Malaysia Datum Cultural Centre, atau Pusat Kebudayaan Datum Malaysia (MDCC) – Truly Dine & Culture di Pusat Beli-belah Datum Jelatek (DJCC) bakal menjadi tarikan baharu dalam sektor pelancongan negara, dengan memanfaatkan kepelbagaian dan keindahan warisan budaya Malaysia.

Persembahan kebudayaan di pusat beli-belah yang biasanya menampilkan tarian tradisional pelbagai kaum di Malaysia bukan perkara asing, meskipun bukan acara bulanan, atau mingguan. Dengan kewujudan MDCC, orang ramai, terutama pelancong luar dan dalam negara dapat lebih kerap menyaksikan persembahan tersebut.

Encik Mohd. Roslan Abdullah (dua dari kanan) menyempurnakan perasmian Majlis Prebiu Malaysia Datum Cultural Centre – Truly Dine & Culture, di Temu Jelatek, Pusat Beli-belah Datum Jelatek.

Menurut Ketua Pengarah Projek MDCC, YBrs. Hajah Suzana Zakaria, MDCC ibarat “bayi yang baru lahir” yang memerlukan sokongan semua pihak dalam sektor pelancongan negara, seperti agensi pelancongan, perhotelan, persatuan, dan semua industri yang terlibat secara langsung, dan tidak langsung dalam merancakkan aktiviti pelancongan.

Hajah Suzana yang juga Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat DatumCorp International (DCI) menghadiri Majlis Prebiu Malaysia Datum Cultural Centre – Truly Dine & Culture, di Temu Jelatek, Tingkat 2, DJSC baru-baru ini.

Dengan kewujudannya juga, MDCC diramalkan akan menarik kedatangan pelancong luar dan dalam negara kerana mereka tidak sekadar menyaksikan, malah menyertai pelbagai persembahan kebudayaan kaum di Malaysia sambil merasai keenakan masakan tradisional yang disediakan.

MDCC menawarkan dua pakej yang boleh ditempah, iaitu “Pakej MDCC Lunch dan Pakej MDCC Dinner”. Dengan itu, pelancong akan mengalami sendiri kepelbagaian kebudayaan etnik yang ada di Malaysia, seperti majlis resepsi perkahwinan, persembahan tarian, demonstrasi silat, dan sajian makanan tradisional.

Secara rasmi, kesemuanya akan dilangsungkan di Temu Jelatek selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini nanti. Para pelancong luar dan dalam negara tidak perlu bimbang dalam soal capaian dan pengangkutan kerana lokasi MDCC dihubungkan dengan stesen aliran transit ringan (LRT) Jelatek. Parkir bas-bas pesiaran yang luas juga dapat membantu.

Menariknya, MDCC ialah pusat kebudayaan di pusat beli-belah yang pertama di Malaysia dan dunia. MIDCC diwujudkan bertujuan memberi peluang kepada banyak pihak seperti pemain industri seni dan kraf, syarikat penyediaan acara yang menawarkan program kebudayaan seperti pertunjukan tarian tradisional dan silat, di samping mendidik pelancong luar negara tentang kebudayaan yang terdapat di Malaysia.

Resepsi pasangan pengantin yang menyerikan Majlis Prebiu Malaysia Datum Cultural Centre – Truly Dine & Culture.

Produk baharu pelancongan yang memartabatkan kebudayaan dan tradisi di Malaysia ini merupakan usaha DCI, iaitu anak syarikat penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor yang membina projek Datum Jelatek, merangkumi pembangunan perumahan mewah, Datum Jelatek Residence, dan DJSC.

Turut menghadiri majlis tersebut ialah Pengarah Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, YBrs. Encik Mohd. Roslan Abdullah; Pegawai Pemantau Operasi DCI, YM Tengku Khairil Azwan; Timbalan Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA), YBhg. Dato’ Azlie Halim; Pengurus Acara dan Pelancongan Fokus, YBrs. Encik Roul Mustaffa; dan Pengarah Swing & Pillows, YBrs. Encik Dino Loh.

Perasmian majlis berkenaan yang disempurnakan oleh Encik Roslan, diikuti dengan sesi menandatangani persefahaman kerjasama antara rakan strategik MDCC, iaitu Swing & Pillows. Hampir 100 syarikat agensi pelancongan hadir, dan akan menjadi rakan strategik projek MDCC.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.