18 Mac 2024, 12:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Pertandingan seni suara dan gaya burung yang telah diadakan pada 2 Mac 2024 di Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis) mengeratkan hubungan pelbagai kaum. Pertandingan ini adalah hasil kerjasama antara Persatuan Unggas Bahagian Utara dengan Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Perlis.

Pertandingan tersebut menarik penyertaan sebanyak 400 orang peserta dengan pelbagai latar belakang. Sebanyak tiga kategori dipertandingkan antaranya ialah kategori merbah jambul suara, merbah jambul pama dan murai kampung.

Warna-warni kelambu sangkar burung dalam Pertandingan Seni Suara dan Gaya Burung di UiTM Cawangan Perlis.

Seawal pukul 7.00 pagi, para peserta berkumpul di kaunter pendaftaran bagi menyelesaikan urusan pendaftaran dan pembayaran yuran pertandingan. Setelah itu, undian dijalankan bagi menentukan tapak sangkar burung masing-masing.

Sebanyak tiga pusingan pertandingan diadili oleh juri berpengalaman. Para peserta diingatkan untuk berada jauh dari sangkar burung masing-masing jika ingin bertepuk, bersorak atau mengajuk burung bersuara.

Pada jam 11.00 pagi, sesi penjurian bermula hingga tengah hari.

Antara acara lain yang turut menarik perhatian ialah pertandingan sangkar tercantik. Sebanyak empat kategori sangkar tercantik menjadi tumpuan para peserta antaranya ialah kategori bunga penuh tanpa ukir, bunga siput atau gading, bunga lorek dan hiasan penuh. Untuk acara ini, pemenang tempat pertama dan kedua bagi setiap kategori dihadiahkan dengan trofi.

Hadiah utama bagi pertandingan ini ialah sebuah motosikal yang disampaikan oleh YBhg. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi. Pertandingan ini turut menghargai peserta veteran pelbagai kaum yang menyertai pertandingan tersebut.

Para pemenang setiap kategori dan juri Pertandingan Seni Suara dan Gaya Burung.

Pertandingan ini turut memberikan kesedaran tentang hubungan antara manusia dengan alam sekitar selain menyediakan ruang kepada usahawan muda untuk menjual produk dan menambah pendapatan mereka. Pihak penganjur menyediakan reruai jualan produk dan aksesori burung seperti dedak, kelambu sangkar dan sebagainya.

Melihat kepada penyertaan orang muda dalam pertandingan ini, pertandingan seni suara dan gaya burung di negara ini perlu dilestarikan untuk generasi akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.