20 Mac 2024, 08:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selepas sekian lama kita biasa menonton atau mendengar dendangan qasidah daripada kumpulan yang dianggotai lelaki sahaja, kini Munsyidaat El Qassh muncul sebagai kumpulan qasidah wanita yang pertama di Malaysia.

Dalam sebuah majlis berbuka puasa di Arina Skyview Kuala Lumpur, Tingkat 20, Menara Arina Uniti, Jalan Raja Muda Abdul Aziz baru-baru ini, Munsyidaat El Qassh tampil mendendangkan beberapa buah lagu daripada album pertama mereka yang berjudul Bekalan Jiwa.

Menariknya, Bekalan Jiwa merupakan projek rakaman album qasidah secara langsung yang hanya diiringi alat muzik yang dimainkan sendiri oleh ahli Munsyidaat El Qassh.

Antara corak lagu yang dirakamkan dalam Bekalan Jiwa termasuklah maulid, selawat dan zikir klasik zaman-berzaman. Album ini diterbitkan dengan kerjasama Loonaq Records dan label kecil di bawahnya, iaitu Nakhoda Alam Resources milik penyanyi, komposer dan penulis lirik terkenal, Royce Sa’ayan.

Royce sendiri merupakan pengasas dan penyanyi utama Munsyidaat El Qassh, yang turut bertindak menerbitkan Bekalan Jiwa bersama-sama dengan penerbit muzik dan rakaman, Mohd. Noor Mohd. Zain @ MadNor Hendrix, yang juga suaminya. Album ini dirakamkan di studio Loonaq Records di Desa Kundang, Rawang, Selangor, dan dikeluarkan pada 7 Mac lalu.

Pada awalnya, Munsyidaat El Qassh yang bermaksud Penyanyi Cerita Sirah, ditubuhkan untuk mengisi kegiatan majlis dan acara keagamaan, kebudayaan serta melakukan kerja-kerja amal kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

Munsyidaat El Qassh bertuah kerana mendapat bimbingan jurulatih vokal profesional, Cikgu Siti Hajar Ismail yang turut serta di pentas dalam majlis tersebut. Kumpulan ini berhasrat mengembalikan kecemerlangan budaya berqasidah dalam kalangan generasi seterusnya.

Menjawab soalan apakah faktor utama sanggup dan berani mengeluarkan album ketika kecenderungan sekarang adalah menerbitkan lagu tunggal dan tiada yang bersedia menerbitkan album penuh, Royce menyatakan bahawa faktornya ialah COVID-19.

“Banyak kawan saya meninggal dunia akibat wabak pandemik tersebut. Meskipun tentunya hal itu menyedihkan, tetapi hal tersebut turut mencetuskan ilham mencipta lagu baharu. Oleh sebab banyak lagu dicipta, dan memberikan nafas baharu kepada lagu lama yang klasik, eloklah kesemuanya dirakamkan dalam sebuah album,” jelas Royce dalam majlis berbuka puasa dan sidang media memperkenalkan Bekalan Jiwa, penyanyi solo Leia AzZahra, Are-Tan Rocktone dan Haris Abdul, serta kumpulan FrentastiX.

Majlis anjuran Loonaq Records, Yayasan UNITI, dan Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) dengan kerjasama Nakhoda Alam Resources, Anspire Signature, Rumah Kasih Nurul Hasanah, dan Friends of Palestine & Global Coalitions tersebut turut memperkenalkan lagu Lentera Terpuji dendangan Royce.

Royce tidak asing dalam seni suara tanah air. Beliau pernah muncul dengan lagu berentak rock berjudul Cinta ke Langit, pada tahun 2013. Melodinya ciptaan MdNoor Hendrix, dan lirik oleh Royce sendiri.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Uniti, Dr. Syed Omar Syed Agil; Pengerusi IRAMA, Encik Ayob Majid, dan wakil Loonaq Records.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.