20 Mac 2024, 12:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Koleksi Miniatur Raya 2024 oleh pelajar Fesyen dan Pakaian Kolej Komuniti Selayang (KKSY) hasil kerjasama bersama Yayasan Tunku Zahirah dan pereka fesyen terkenal, Datuk Radzuan Radziwill bersempena dengan Kempen Raya 2024 di Centre Court, Pavilion menjadi batu loncatan untuk mengembangkan bakat serta kemahiran dalam industri fesyen di Malaysia.

Menurut KKSY, pelibatan 27 orang pelajar, alumni dan pensyarah Program Fesyen dan Pakaian KKSY ini telah berjaya menghasilkan 20 rekaan pakaian Miniatur Raya 2024 yang bertemakan baju tradisional dan gabungan tradisional dalam tempoh sebulan.

Ketua Program Fesyen dan Pakaian KKSY, Siti Fatimah Dzulkifli dalam kenyataan yang sama berkata tempoh sebulan yang diberikan untuk menghasilkan koleksi miniatur raya 2024 ini memberi pengalaman yang luas kepada pelajar yang terlibat.

Katanya, hal ini kerana produk yang dihasilkan bukanlah seperti baju-baju biasa yang selalu diperagakan oleh model. Proses penghasilannya memerlukan ketepatan pengukuran mengikut saiz patung mini serta penggunaan teknik jahitan yang kompleks.

“Para pelajar komited dan teruja untuk menghasilkan rekaan pakaian ini walaupun mempunyai tugasan dan tanggungjawab yang lain kerana peluang yang datang merupakan peluang keemasan dalam menyerlahkan bakat dalam industri serta bukti bahawa minat dalam bidang fesyen mampu memupuk sikap positif dalam diri pelajar,” tambahnya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Siti Syazwani Mohd Yusof, 20, pelajar semester tiga, Program Fesyen dan Pakaian KKSY berkata beliau tidak menyangka hasil tangan dan kemahiran kreativiti beliau dapat diperagakan di Pavilion Kuala Lumpur, iaitu kawasan tumpuan pelancong yang datang dari seluruh pelosok dunia di samping dapat memperkenalkan budaya Malaysia kepada orang luar.

“Saya sangat teruja untuk mempamerkan baju kebaya songket versi miniatur yang dihasilkan kerana projek ini ialah kali pertama saya hasilkan baju sekecil ini,” katanya.

Tambahnya, selama ini potongan kain, penyediaan pola dan cara jahitan adalah seperti saiz standard namun cabaran menyediakan rekaan miniatur ini memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi kerana ukuran berdasarkan patung miniatur agak berbeza dengan produk akhir.

Menurut KKSY, 500 rekaan pakaian yang dipamerkan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri 2024 dalam kempen tersebut melibatkan 15 buah institusi pendidikan dari seluruh Malaysia termasuklah politeknik dan kolej komuniti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.