25 Mac 2024, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Negeri Perlis buat julung-julung kalinya menjayakan kempen Perlis Destinasi Pilihan bersempena dengan March MATTA Fair 2024.

Acara tersebut berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Segambut, Kuala Lumpur bermula dari 22 Mac hingga 24 Mac 2024 bagi merancakkan lagi promosi kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Pavilion Perlis merupakan antara pempamer yang telah menerima kunjungan yang tinggi oleh para pengunjung.

Antara tarikan utama yang sering ditanya termasuklah bentuk muka bumi Perlis yang kaya dengan flora dan fauna, buah harum manis dan pakej-pakej pelancongan yang semakin menarik.

Pempamer dari Perlis menerima suntikan semangat apabila menerima keberangkatan DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkunjung ke Pavilion Perlis.

DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pakej Agro-Pelancongan.

Baginda berdua turut berkenan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pakej Agro-Pelancongan antara Harumango Sdn. Bhd. dengan Smart Leisure & Travels (SLT) Sdn. Bhd. dan Antar Holiday & Convention Sdn Bhd.

DYTM Tuanku Raja Muda menitahkan agar pemain industri di dalam dan luar negeri Perlis terus menggunakan peluang seperti ini dengan sebaiknya untuk terus memperkenalkan produk-produk pelancongan Negeri Perlis.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, iaitu Megat Hashirat Hassan dan Wan Badariah Wan Saad serta Presiden MATTA, Nigel Wong.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.