26 Mac 2024, 22:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Cepat masa berlalu, dan pada tahun ini masuk kali ke-19 penganjuran Anugerah Seni Cameronian BOH (19BCAA) oleh Kakiseni. Mengikut perancangan, majlis penganugerahan untuk 19BCAA dijadualkan berlangsung pada 5 Mei 2024.

Maka, timbul semula keterujaan apabila industri seni Malaysia bersiap sedia mempamerkan bakat yang mempesonakan pada 19BCAA ini. Penganjur sekali lagi bersedia meraikan kecemerlangan penggiat seni persembahan negara yang terus menawan hati penonton dan mengekalkan semangat seni sepanjang tahun lalu.

Pada 18 Mac lalu telah berlangsung majlis pengumuman calon-calon bagi 19BCAA di Nero Event Space, Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC), Pusat Beli-belah 1 Utama.

Selain penggiat seni serta calon-calon bertanding, turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, Jason Foo dan Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen.

Justeru, sambil bersedia untuk menghargai persaudaraan seni tempatan yang cemerlang, peminat seni juga akan menikmati keajaiban yang diciptakan, menyemarakkan hati dan minda dengan keazaman dan kreativiti mereka yang tidak terbatas.

Acara 19BCAA merupakan kemuncak acara yang dinilai untuk sepanjang tahun lalu, dengan 74 buah produksi dari kategori tarian, muzik, teater muzikal dan teater diadili oleh sekumpulan juri yang hebat.

Terdapat 37 subkategori termasuklah Persembahan/Pelakon Terbaik untuk Watak Utama, Kostum Terbaik, Penggayaan dan Solekan, Nilai Produksi, serta lebih banyak anugerah untuk kategori bakat persembahan, teknikal dan kreatif.

Menurut Jason, 19BCAA sesuatu yang istimewa kepada BOH kerana bertepatan dengan ulang tahunnya yang ke-95.

“Mengimbas kembali, saya melihat terdapat banyak persamaan antara menyempurnakan seni pembikinan teh dengan memajukan industri seni persembahan. Kedua-duanya memerlukan semangat yang berterusan dengan antusias yang kuat, serta dedikasi dan komitmen untuk menguasai kraf masing-masing,” tambah beliau.

Melangkah ke hadapan, kata Jason lagi, BOH berjanji untuk sentiasa melabur dalam usaha “kelestarian teh” ini supaya mampu meneruskan penghasilan.

“Matlamat dalam perjalanan jenama kami adalah untuk berkongsi teh kami yang lazat dengan generasi akan datang, di samping meningkatkan kesejahteraan komuniti yang kami santuni,” tegas beliau.

Jason yakin industri seni persembahan juga akan terus memupuk pertumbuhan ekspresi kreatif, dan memacu kecemerlangan pada tahun-tahun mendatang. Katanya, inilah “bakar teh” kepada 19BCAA dan semua penggiat seni persembahan di Malaysia.

Sementara itu, Ngai Yuen menjelaskan ketika Kakiseni mengumumkan pencalonan 19BCAA, adalah penting untuk mengiktiraf dedikasi yang dicurahkan tanpa henti, sama ada di atas atau luar pentas.

“Penganugerahan ini bukan sahaja mengenai bakat, tetapi pengiktirafan kecemerlangan yang dipamerkan melalui antusias yang melimpah-ruah dan sinonim dengan komuniti seni persembahan Malaysia. Seiring dengan usia ke-19 anugerah ini, marilah kita meluangkan sedikit masa untuk mengiktiraf legasi di sini,” ujarnya.

Kata Ngai Yuen lagi, BCAA telah menjadi juara kecemerlangan yang teguh selama hampir dua dekad dan berdedikasi untuk mengiktiraf yang terbaik.

BCAA mendapat sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, dengan BOH Plantations sebagai penaja utamanya.

“Penting untuk menyerlahkan usaha berterusan dalam penghakiman dan inovasi dalam seni persembahan. Evolusi sedang berlaku dalam industri seni persembahan dan Anugerah Seni Cameronian BOH menerimanya, memastikan inovasi dan kebolehsuaian dinilai bersama-sama tradisi dan penguasaan. Pasti akan ada kemas kini dan “cubitan” terhadap format serta metodologi penghakiman untuk BCAA pada masa akan datang,” tambah beliau.

Ini, kata Ngai Yuen lagi, adalah komitmen untuk kekal relevan dan responsif terhadap sifat dinamik persada seni persembahan serta menghormati legasi dan terus meningkatkan bakat luar biasa untuk tahun-tahun mendatang.

Tema 19BCAA ialah “Pentas Kehidupan: Meneroka Tanpa Batasan” yang dipilih untuk meraikan penerokaan kreativiti tanpa batas dalam komuniti seni persembahan.

“Daripada yang biasa kepada yang luar biasa, pengalaman hidup Kakiseni berfungsi sebagai “pemikiran akhir” untuk inovasi dan imaginasi, dan kami mahu mengiktiraf serta memberi penghormatan kepada kuasa transformatif seni, kekayaan dan kerumitan pengalaman manusia,” ujar Ngai Yuen.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.