28 Mac 2024, 12:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) dengan kerjasama Persatuan Festival Seni Kreatif dan TVET Malaysia (ANIFEST) serta Persatuan Pendidik Animasi Malaysia (PPAM) akan menganjurkan pertandingan filem pendek animasi berkonsepkan pesanan khidmat masyarakat.

Pertandingan ini bakal berlangsung mulai April 2024 hingga Jun 2024 dan terbuka untuk semua pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia daripada mana-mana bidang pengajian serta tidak terhad kepada penuntut bidang animasi sahaja.

Tujuan utama pertandingan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pelajar IPT tentang kandungan berhemah melalui animasi, mendorong kreativiti dan kebolehan komunikasi visual pelajar serta memberikan platform untuk masyarakat menyuarakan pandangan mereka.

Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai bernilai RM6000, naib juara pula sebanyak RM4000, manakala tempat ketiga sebanyak RM2000. Tiga hadiah saguhati turut tersedia dengan setiap pemenang bakal menerima RM500. Bukan itu sahaja, semua peserta yang menyertai pertandingan ini turut diberikan sijil penyertaan. Setiap peserta juga berhak untuk memegang hak cipta karya yang dihasilkan dan pihak CMCF hanya berhak untuk menggunakannya sebagai bahan tayangan bagi aktiviti CMCF.

Pengerusi CMCF, Rafiq Razali berkata, “Dengan jumlah bakat yang semakin berkembang dalam industri animasi tempatan, kami berharap dapat memanfaatkan kepakaran teknikal dan keupayaan bercerita mereka untuk membantu kami menyampaikan mesej tentang kandungan yang selamat dan bagus”.

Tema yang ditetapkan ialah “Inovasi dalam Penciptaan Kandungan Berhemah”, dengan subtema seperti “Etika dalam Penggunaan Media Sosial”, “Memahami Tanggungjawab sebagai Pembuat Kandungan”, dan “Cara Kreatif untuk Menyampaikan Maklumat secara Berkesan.” Pemilihan tema ini bertepatan dengan situasi masa ini, iaitu industri kandungan turut melibatkan penggunaan media sosial dan menembusi segenap lapisan masyarakat.

Sementara itu, Presiden PPAM, Profesor Madya Ahmad Tarmizi Haji Azizan pula berkata, “Menerusi pertandingan ini, kami yakin bahawa akan ada banyak lagi bakat yang kita akan terokai kelak. Mereka juga boleh turut serta dalam menyambung legasi ini serta menyebarkan kandungan yang berkualiti untuk masyarakat”.

Sesi webinar taklimat mengenai pertandingan turut disediakan secara dalam talian sekiranya para mahasiswa berminat untuk mengetahui maklumat lanjut tentang kriteria pertandingan tersebut.

Bagi penilaian karya, semua video akan dinilai oleh juri pertandingan yang mewakili CMCF, ANIFEST dan PPAM. Keputusan penjurian pertandingan adalah muktamad. Kriteria penghakiman adalah berdasarkan ketepatan tema, keaslian karya, kreativiti, proses penghasilan serta aspek teknikal. Keutamaan pertandingan adalah penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul.

Peserta perlu menghasilkan karya asli dan jika didapati karya yang dihantar bukan karya asli, penyertaan akan dibatalkan serta-merta dan kemenangan akan ditarik balik. Selain itu, setiap karya yang dihantar juga mestilah karya baharu dan tidak pernah memenangi mana-mana pertandingan sebelum ini.

Mereka yang berminat pula boleh menyertainya sama ada secara individu atau berkumpulan dengan jumlah maksimum tiga orang. Setiap karya video yang dihantar mestilah berdurasi antara dua minit hingga 5 minit termasuklah intro dan kredit serta perlu diserahkan dalam format MP4 HD 264 atau MKV (High Resolution).

Karya yang dihasilkan mestilah tidak menyentuh sensitiviti keagamaan, perkauman, politik dan sebagainya yang boleh menggugat ketenteraman atau dikategorikan sebagai menyalahi undang-undang negara Malaysia. Penghasilan kandungan yang menyemarakkan semangat perpaduan, penggunaan media yang beretika, dan mesej-mesej baik yang lain adalah digalakkan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.contentforum.my.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.