1 April 2024, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kemahiran mengambil gambar yang hebat semata-mata tanpa memahami etika sebagai jurufoto profesional boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada mereka yang berkecimpung dalam bidang fotografi.

 Justeru, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) mengambil satu pendekatan proaktif dengan menganjurkan kursus Train the Photographer yang berlangsung di IPPTAR baru-baru ini.

Koordinator Latihan IPPTAR, Roziah Abu menegaskan bahawa kursus tersebut memberikan banyak pendedahan mengenai elemen kreativiti, protokol dan etika kepada para peserta agar lebih dinamik, sentiasa bersedia untuk bertugas dalam pelbagai situasi dan acara.

“Sebanyak 20 orang jurufoto yang merupakan penjawat awam menghadiri kursus selama tiga hari ini. Mereka didedahkan secara teori dan amali oleh tenaga pengajar yang juga merupakan jurufoto profesional dan pegawai dari Bahagian Istiadat dan Urus Setia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Bekas jurufoto Reuters yang kini merupakan jurufoto bebas, Zainal Abd. Halim.

“Jurufoto perkhidmatan awam dilihat sebagai pegawai yang bertanggungjawab untuk memberikan liputan kepada program-program rasmi dan tidak rasmi kerajaan. Mereka perlu dilengkapi dengan ilmu tentang kerja-kerja fotografi sepanjang membuat liputan rasmi atau tidak rasmi kerajaan.

Oleh itu, latihan ini bertujuan untuk memperkasakan pengetahuan dalam aspek etika dan protokol menerusi kemahiran komunikasi untuk membuat liputan rasmi program kerajaan secara teori dan amali bagi melahirkan jurufoto perkhidmatan awam yang kompeten,” jelas Roziah lagi.

Antara panel dan tenaga pengajar yang menjayakan sesi latihan tersebut ialah dua orang Ketua Penolong Setiausaha BIUPA-JPM, Mohd Hanafiah Moktar dan Ahmad Mokthar Shahul Hamid yang membincangkan perihal etika dan protokol.

Manakala Ketua Jurufografi, Jabatan Penerangan, Redzuan Md. Salleh dan bekas jurufoto Reuters, Zainal Abd. Halim berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang aspek teknikal dan kreativiti fotografi.

Menurut Ahmad Mokthar Shahul Hamid, adalah amat penting untuk jurufoto jabatan kerajaan menguasai pengetahuan yang melibatkan etika dan protokol di lokasi program rasmi dan tidak rasmi kerajaan, lebih-lebih lagi kemahiran berkomunikasi dalam melaksanakan tugasan dan liputan rasmi kerajaan.

“Setiap tugasan, mereka mempunyai keperluan dan khalayak yang berbeza. Pergerakan jurufoto perlu minima tetapi tidak bermakna mereka boleh terleka dan terlepas momen-momen penting yang perlu dirakam melalui lensa masing-masing.

“Jurufoto perlu mempunyai pengetahuan yang luas dalam etika dan protokol serta bijak berkomunikasi ketika menjalankan tugas, terutamanya dalam majlis rasmi kerajaan. Elemen ini penting agar mereka dapat melaksanakan tugasan dengan lancar, kemas dan tersusun,” jelas Ahmad Mokhtar.

Bagi bekas jurufoto Reuters yang kini merupakan jurufoto bebas, Zainal Abd. Halim beliau menegaskan bahawa pengetahuan teknikal dalam fotografi semata-mata tidak menjamin seseorang jurufoto mampu menjadi jurufoto yang baik atau profesional.

“Pengalaman selama lebih dari 20 tahun di pelbagai lapangan seperti liputan mengenai peperangan atau kekacauan politik di pelbagai negara seperti Afghanistan, Timor Leste, Sri Lanka, pembunuhan Benazir Bhutto di Pakistan, kejadian rusuhan di Manila dan liputan sukan antarabangsa membolehkan saya mengambil kira pelbagai aspek perancangan, keselamatan dan kreativiti agar lensa kamera saya dapat merakam momen-momen penting.

Nurul Makmun Mukiya, seorang daripada peserta kursus Train the Photographer.

“Bukan mudah untuk merakam gambar dalam keadaan yang sangat bahaya, genting dan subjek yang tidak dirancang. Ada ketikanya, saya memperjudikan nyawa dan melaksanakan tugas dalam keadaan dan masa yang sangat terhad,” jelas Zainal yang merupakan antara beberapa orang jurufoto profesional Malaysia yang mendapat pengiktirafan sebagai jurufoto profesional di peringkat antarabangsa.

Bagi seorang daripada peserta Train the Photographer, Nurul Makmun Mukiya, jurufoto Kementerian Kewangan,  menyatakan bahawa kursus dan latihan tersebut sangat bermanfaat bagi meningkatkan kualiti kerja dan gambar yang diambil agar menepati keperluan di organisasi tempat beliau berkhidmat.

“Walaupun saya telah bekerja dalam bidang ini lebih dari 13 tahun, masih banyak elemen teknikal, etika dan protokol yang saya belum kuasai dengan baik.

Latihan yang dianjurkan oleh IPPTAR ini wajar diadakan dengan lebih konsisten agar lebih banyak jurufoto dan mereka yang berminat dalam bidang fotografi mendapat pendedahan dan manfaat,” ujar Nurul Makmun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.