3 April 2024, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Tourism Malaysia melancarkan Pakej Pelancongan Sarawak Delta Geopark dan Gawai 2024 bagi mempromosikan keunikan produk pelancongan geopark serta sambutan Hari Gawai di Sarawak kepada pelancong tempatan dan antarabangsa semalam.

Menurut Tourism Malaysia, sebanyak 37 pakej pelancongan telah dibangunkan dengan kerjasama 13 operator pelancongan dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang antara lain menawarkan lawatan ke geotapak, tapak biologi dan tapak budaya di sekitar geopark merangkumi daerah Kuching, Bau dan Padawan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Encik Mohd Roslan Abdullah ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej Pelancongan Sarawak Delta Geopark dan Gawai 2024.

“Antara pakej-pakej yang ditawarkan termasuklah Pakej Geological, Heritage & Exploration @ Sarawak Delta Geopark, Pakej The Hidden Prehistory & Geological Sites @ Sarawak Delta Geopark, Pakej Cloud Glamping @ Sarawak Delta Geopark, Pakej Nature & Cultural @ Sarawak Delta Geopark, Pakej Gawai Open House at Matop Longhouse, Pakej Babulang Festival in Limbang serta Pakej Irau Aco Lun Bawang Festival,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, kesemua pakej pelancongan tersebut telah dimuatkan dalam sebuah risalah yang kini boleh dimuat turun dalam laman sesawang Tourism Malaysia iaitu www.malaysia.travel.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Encik Mohd Roslan Abdullah dalam kenyataan sama berkata, pembangunan pakej tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan pilihan destinasi pelancongan seiring dengan persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tetamu kehormat mempamerkan risalah Pakej Pelancongan Sarawak Delta Geopark & Gawai 2024.

“Di samping itu, pembangunan pakej ini juga dapat memangkin ke arah usaha pemeliharaan warisan, sejarah dan budaya selain mempelbagaikan kegiatan ekonomi serta pelibatan masyarakat setempat bagi menjanakan sumber pendapatan,” tambahnya.

Menurut Tourism Malaysia, Pakej Sarawak Delta Geopark & Gawai 2024 dibangunkan susulan daripada penganjuran bengkel dan lawatan produk pelancongan selama empat hari tiga malam yang diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) pada 16-19 Oktober 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.