9 April 2024, 11:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Walaupun tidak pernah mengeluarkan lagu khusus bersempena dengan hari kebesaran umat Islam seperti hari raya Aidilfitri, tetapi itu bukan bermakna kumpulan Search enggan ikut, serta memeriahkan suasana dengan lagu sedemikian.

Hakikatnya, tanpa lagu raya pun kehadiran kumpulan rock legenda yang berusia empat dekad ini dalam dunia muzik tanah air tetap bermakna bagi para peminat.

Walau bagaimanapun, 2024 menjadi tahun menarik dan bersejarah bagi Search, serta peminatnya apabila kugiran yang dianggotai Datuk Amy, Nasir, Man Kidal dan Hillary ini terbit dengan karya perdana, meraikan hari kemenangan umat Islam.

Sujud Aidilfitri menjadi karya Aidilfitri sulung yang akhirnya diterbitkan oleh Search menerusi GoSearch Record, untuk merayakan Syawal pada tahun ini.

Kumpulan rock legenda tanah air, Search tampil dengan lagu raya sulung berjudul Sujud Aidilfitri.

Tanpa meninggalkan kentalnya genre rock dan balada, serta ciri khas vokal Amy yang sudah sebati dengan Search menerusi lagu-lagu sejak hampir empat dekad lalu, Sujud Aidilfitri turut dibalut dengan nuansa serupa.

Meskipun tiada yang terlalu bergemerlapan mengenai Sujud Aidilfitri, yang melodinya ciptaan Search sendiri ini, tetapi mesej yang ingin disampaikan oleh Search kepada seluruh pendengar sampai menerusi bait liriknya.

Sujud Aidilfitri menampilkan lirik yang lebih menyentuh dan beremosi sesuai dengan suasana hari kemenangan itu sendiri. Lirik dalam Sujud Aidilfitri, tulisan Jun lebih kepada muhasabah diri, merenung kekhilafan yang telah dilakukan, seterusnya dengan rendah hati memohon kemaafan,” ujar Amy.

Aidilfitri, tambahnya, adalah hari kemenangan dan 1 Syawal yang secara tradisi dimulakan dengan bermaaf-maafan sebelum umat Islam menyambutnya dengan penuh bahagia.

“Inilah yang disampaikan dalam Sujud Aidilfitri. Persengketaan boleh terhapus dengan satu kemaafan yang sejati,” kata Amy lagi.

Tambah beliau dan Search, keputusan merakamkan Sujud Aidilfitri adalah sebagai satu usaha menghidupkan budaya memiliki lagu raya yang semakin jarang dirakamkan, kerana pendengar lebih suka mendengar lagu raya lama yang malar segar.

Pemain bass, Nasir pula menyatakan bahawa saban tahun memang akan ada lagu raya baharu dirakamkan, tetapi dengan genre atau suasana lagu yang lebih cenderung meriah, atau bersifat keraian.

“Jadi, Search memilih nuansa yang lebih kental daripada melodi dan lirik sesuai dengan kematangan ahli-ahlinya,” jelas Nasir.

Penghasilan Sujud Aildilfitri turut dibantu oleh Rie Tsuji sebagai penyusun, dan Rozhan (adunan dan mastering).

Diedarkan oleh Universal Music, Sujud Aidilfitri yang kini sudah mula boleh didengari di corong radio, turut menampilkan klip video yang penggambarannya dijalankan di Terengganu.

Dalam hal ini, Search amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu kerana kolaborasi yang diberikan untuk melancarkan klip video Sujud Aidilfitri.

“Kami sengaja memilih Terengganu kerana mahu memiliki suasana desa, damai dan bersesuaian dengan keseluruhan konsep lagu Sujud Aidilfitri,” jelas Search mengenai klip video yang diarahkan oleh Datuk M. Razlan Ismail, dengan Nourish Hassan sebagai penerbit eksekutif.

Justeru, jangan terlepas untuk mendengar Sujud Aidilfitri di semua corong radio atau platform digital dan menonton klip video di laman YouTube Universal Music.

Penghasilan klip video Sujud Aidilfitri turut dibantu oleh Jeep Rahim sebagai penolong pengarah, Takeem (pengarah fotografi/penyunting), Amir (penolong fotografi/teknikal), Tasha Sivan (pengurus produksi), dan Syed Mohd. Ridzuan Syed Kamil (penolong pengurus produksi), serta kerjasama AirAsia Berhad, dan DreamAtWork Sdn. Bhd.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.