12 April 2024, 08:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan harapan agar Syawal pada tahun ini disambut dengan penuh kemeriahan dalam suasana bersih dan selesa.

Pada masa yang sama baginda menasihatkan rakyat Perlis supaya dapat mengamalkan budaya bersederhana dalam penyediaan makanan sepanjang musim perayaan pada kali ini.

“Rancang menu-menu yang akan disediakan. Elakkan pembaziran terutamanya sewaktu mengadakan jamuan hari raya. Sentiasalah bersederhana semasa memasak hidangan dan janganlah terlalu berlebihan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bersama-sama DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke Majlis Sembah Menghadap Tahunan sempena Aidilfitri oleh warga kerja Istana Arau di Istana Arau.

Turut berangkat ialah anakanda bongsu baginda berdua, YM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Dalam perkara yang berkaitan, Pengarah SW Corp Negeri Perlis, Shamsuharizal Basir memaklumkan bahawa bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini, SWCorp bersama dengan Syarikat Environment Idaman telah merancang operasi khas pada malam raya bermula pada pukul 12 tengah malam hingga jam 7.00 pagi. Seterusnya disusuli pada hari raya pertama, operasi kutipan bermula pada jam 1.00 tengah hari hingga 6.00 petang.

Terang beliau, “Operasi khas pada tahun ini melibatkan 34 jentera pembersihan oleh syarikat konsesi. Selain itu, SWCorp juga akan memfokuskan kepada 22 kawasan tumpuan kutipan tong pusat di jalan-jalan utama, jalan protokol termasuk juga di masjid-masjid.

Tambah Shamsugarizal, “SWCorp berharap agar operasi khas pada kali ini dapat memberikan keselesaan kepada penduduk Perlis bagi memastikan Syawal yang diraikan berada dalam keadaan bersih, selesa dan menawan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.