14 April 2024, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Perlawanan bola sepak “Bola Raya 2024” antara Persatuan Anak Perlis Kuala Lumpur (PAPKL) dengan Pasukan Pilihan Veteran Perlis anjuran bersama oleh Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) berkesudahan seri 3-3 pada petang semalam.

Perlawanan tahunan yang diilhamkan sendiri oleh DYTM Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sejak 30 tahun yang lalu ketika baginda aktif sebagai Ahli Jawatankuasa PPKL bagi portfolio belia dan sukan pada kali ini dilangsungkan di Stadium Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kampus Alam, Pauh Putra.

DYTM Tuanku Raja Muda berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut dan diiringi sama oleh DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung, YAM Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Tambah istimewa adalah pada kali ini, buat julung-julung kalinya anakanda bongsu baginda berdua, iaitu YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail yang baru sahaja menyambut hari ulang tahun keputeraan yang ke-15 pada hari Jumaat, 12 April 2024 turut bermain untuk pasukan PAPKL.

Para pemain “Bola Raya 2024” bergambar kenang-kenangan bersama dengan DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis.

Antara pemain yang mewakili PPKL ialah bekas pemain kebangsaan Fauzie Nan, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawan) MARA, Datuk Zulfikri Osman; Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Ismasuhaimi Shariff; Ketua Pegawai Operasi Kobe Precision Technology Sdn Bhd, Norzaman Othman dan kapten pasukan, Mohd Zahir Abd Rahman.

Pasukan Veteran Perlis pula dibarisi oleh bekas pemain pasukan Singa Utara, antaranya termasuklah Azizi Matt Rose, Jamin Ismail dan Hamizan Ismail serta Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri (Sektor Pembangunan Murid), Che Rasaidi Che Yob.

Turut diadakan bersempena dengan Program Balik Kampung Anak Perlis di Perantauan Sempena Aidifitri pada edisi kali ini ialah perlawanan golf antara PPKL dengan Kelab Golf Putra (KGP) Perlis bagi merebut Piala Syed Sirajuddin Areeb Putra di Lapangan Golf KGP di Sungai Batu Pahat pada pagi Sabtu, 13 April 2024.

Sementara itu, juga dilaksanakan ialah pertandingan woodball yang buat pertama kalinya dianjurkan oleh PPKL dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Persatuan Woodball Perlis (PWPs) di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Pauh Putra pada pagi Jumaat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.