15 April 2024, 08:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tourism Malaysia teruja untuk mempromosikan budaya sarapan Malaysia dengan menampilkan pelbagai hidangan yang mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakatnya di Malaysia Travel Escapade 2024.

Menurut Tourism Malaysia, Travel Escapade 2024 dianjurkan buat julung-julung kalinya di Suntec City Mall, Singapura bermula dari 12 April hingga 14 April lalu.

“Sarapan Malaysia merupakan sebahagian daripada warisan sajian negara dan para pengunjung yang hadir boleh melihat dan merasai kelazatan nasi lemak yang harum, keenakan roti canai dan teh tarik,” kata Tourism Malaysia dalam satu kenyataan.

Nasi lemak dan roti canai meruapakan antara hidangan yang dipromosikan oleh Tourism Malaysia sepanjang pameran berlangsung.

Tambahnya, pengunjung juga berpeluang menyaksikan demostrasi pembuatan teh tarik secara langsung dalam pameran tersebut.

Selain itu, pihak Tourism Malaysia juga akan menonjolkan satu daripada sup herba Cina yang popular iaitu, chi kut teh.

Timbalan Pengarah Pelancongan Malaysia Singapura, Mohana Murni Shanmugam dalam kenyataan yang sama berkata pihaknya sangat teruja untuk mempamerkan budaya sarapan Malaysia dan memberi pengunjung peluang merasai keenakan masakan asli Malaysia.

“Kami percaya budaya sarapan Malaysia, walaupun ada yang sama dengan Singapura, masih unik dari segi budaya dan layak mendapat pengiktirafan serta promosi ketika pihaknya bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambahnya.

Katanya lagi, pihak kerajaan telah mengemukakan pencalonan agar budaya sarapan Malaysia untuk dimasukkan dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO pada tahun lepas.

Tourism Malaysia turut membawakan demostrasi pembuatan teh tarik secara langsung kepada para pengunjung.

Menurut Tourism Malaysia lagi, selain sarapan dan gerai maklumat, pihaknya juga mempamerkan produk tempatan  dari Sarawak dan perkhidmatan spa tradisional yang disediakan oleh Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) di Malaysia Travel Escapade 2024.

Malaysia menyasarkan untuk mengalu-alukan 27.3 juta pelancong antarabangsa pada 2024 dan menjanakan RM102.7 bilion dalam industri pelancongan.

Pada 2023, Singapura disenaraikan sebagai sumber teratas pasaran pelancong ke Malaysia dengan menyumbang sebanyak 8.3 juta ketibaan pelawat.

Dalam Tahun Melawat Malaysia 2026, sejumlah 35.6 juta ketibaan pelancong asing telah disasarkan dengan membawa unjuran sebanyak RM147.1 bilion.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.